Tabik karakter Dragons berdepan asakan Azzurri
BINTANG Wales, Aaron Ramsey memuji karakter dipamerkan pemain The Dragons ketika berdepan gergasi Eropah, Itali dalam pemburuan slot ke pusingan 16 terbaik Euro 2020.
Malah menurut pemain tengah Juventus berusia 30 tahun itu, bukan sesuatu yang mudah apabila berdepan The Azzurri yang mempunyai kualiti permainan terbaik selain tampil dengan rekod tanpa kalah di pertandingan itu.
"Sejujurnya, ia merupakan perlawanan yang sukar dan mencabar untuk Wales dalam tempoh 90 minit aksi berintensiti tinggi.
"Tambahan pula berdepan skuad Roberto Mancini yang tampil dengan reputasi tanpa kalah, jadi tentu sahaja Itali mahu mengekalkan momentum positif tersebut.
"Jadi keputusan ini adil dan tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa pun selepas apa yang berlaku kepada Ethan. Setiap pemain memberikan kerjasama sebagai unit pasukan yang kompak sehabis baik selepas itu," katanya.
Wales pada babak kedua terpaksa beraksi 10 pemain selepas pemain benteng Ethan Ampadu dilayangkan kad merah.
Pada aksi di Stadium Olimpico, Rome itu, Wales akur jaringan minit ke-39, Matteo Pessina mengesahkan kemenangan ketiga berturut-turut The Azzurri dalam saingan kumpulan A.
Kemenangan Itali menyaksi anak buah Mancini kekal di tangga teratas kumpulan diikuti Wales, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan mara ke fasa seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!