Sasar 2 juta pekerja pembuatan capai imuniti kelompok
SHAH ALAM - Dua juta pekerja sektor pembuatan dijangka mencapai imuniti kelompok selewat-lewatnya September tahun ini melalui Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam - Swasta (Pikas).
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif berkenaan bagi mengelakkan jangkitan dalam kalangan pekerja terutama membabitkan subsektor pembuatan.
“Untuk merealisasikan perkara ini, ia juga bergantung kepada bekalan vaksin termasuk tenaga kerja termasuk doktor dan pasukan kesihatan yang ditempatkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pikas.
“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memberi jaminan kita akan menerima lebih banyak dos vaksin pada Ogos nanti,” katanya dalam siaran Facebook miliknya pada Isnin.
Pada Rabu, Pikas dilaksanakan bagi mengawal penularan kes Covid-19 di sektor perkilangan dan pembuatan, sekali gus membantu kelancaran Pelan Pemulihan Negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, data KKM menunjukkan kluster baharu kebanyakannya membabitkan tempat kerja.
“Saya faham, mungkin ada yang menyoal kenapa sesetengah sektor itu dibenarkan beroperasi sedangkan sekarang negara di bawah perintah ‘total lockdown’.
“Keputusan membenarkan sektor pembuatan dibuka kerana ianya adalah sebahagian daripada rantaian bekalan produk dan perkhidmatan yang perlu termasuk untuk menyokong kelancaran fungsi infrastruktur seperti penjagaan kesihatan awam,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!