Sembilan ditahan terlibat sindiket pelaburan babit kerugian RM1.9 juta
KUALA LUMPUR - Seramai sembilan individu termasuk tiga wanita diberkas kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan Skim Pelaburan banker capital (BKC) dan Skim Pelaburan Wow Exchange OU.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, kesemua individu berusia 23 hingga 62 tahun diberkas dalam Op Nuri 17/2021 di Kedah, Kuala Lumpur dan Johor pada Sabtu.
Menurutnya, polis turut merampas 13 unit telefon bimbit, 11 keping kad pengeluaran tunai, satu kad kredit, tiga unit komputer riba, enam unit alat kawalan kereta, lima buah kereta, satu unit tablet serta satu set profil syarikat pelaburan banker capital dan set risalah pakej pelaburan.
"Kita juga merampas sembilan buku cek pelbagai bank serta wang tunai RM9,000 dan pelbagai mata wang asing," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Kamarudin berkata, setakat ini, sebanyak sembilan kertas siasatan dibuka berkaitan skim pelaburan membabitkan kerugian mencecah RM1,895,041.20 juta.
"Siasatan mendapati, sindiket ini mensasarkan warga tempatan dan menggunakan dua modus operandi berbeza bagi memperdaya mangsa.
"Sindiket mempromosikan pelaburan BKC dengan kadar keuntungan di antara 100 peratus hingga 400 peratus daripada jumlah modal yang dilaburkan melalui beberapa pakej yang mencecah sehingga AS$10,000," katanya.
Menurut Mohd Kamarudin, bagi skim pelaburan 'Wow Exchange OU', sindiket mendakwa ia pelaburan berasaskan mata wang kripto dengan mempromosikan platform mata wang kripto dan e-wallet yang dinamakan sebagai token Wowx yang dikatakan berdaftar dan berpusat di Singapura.
"Pelabur diarahkan membuat bayaran modal pelaburan ke beberapa akaun bank yang diarahkan oleh sindiket namun akhirnya mangsa tidak memperoleh pulangan yang dijanjikan," katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil daripada aktiviti haram.
"Tindakan turut dilaksanakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959.
"Orang ramai dinasihati supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya iklan pelaburan di media sosial," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!