Kekosongan jawatan guru: Utamakan graduan pendidikan
KUALA LUMPUR - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencadangkan agar Kementerian Pendidikan (KPM) memberi keutamaan kepada graduan pendidikan bagi mengisi kekosongan jawatan guru di sekolah-sekolah di seluruh negara, seperti ditawarkan kementerian itu baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) merupakan calon pendidik terlatih dan telah mengikuti pelbagai latihan profesionalisme guru.
“Pelantikan graduan ISMP yang terlatih ini akan membantu pihak sekolah dan KPM dalam mencapai matlamat murni Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).
“Selain kemahiran mendidik, graduan ISMP juga dilengkapi pelbagai kemahiran profesionalisme keguruan, komunikasi, penyelesaian masalah, teknologi IR 4.0, pengurusan malahan hubungan antarabangsa,” kata Md Amin dalam kenyataan hari ini.
Semalam (Ahad), Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan pelaksanaan pengambilan khas secara 'one-off' seramai 18,702 pendidik bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sekolah-sekolah di seluruh negara.
Md Amin berkata, UPSI akan segera menghantar senarai nama graduan pendidikan dalam bidang yang disebutkan KPM selain meminta semua graduan ISMP agar segera mendaftarkan diri untuk mengisi kekosongan penempatan itu.
Sementara itu, Md Amin yang turut menjalankan fungi Naib Canselor UPSI, mencadangkan agar diwujudkan satu pangkalan data bersepadu di antara universiti awam yang menawarkan bidang pendidikan dan IPG dengan KPM.
“Kewujudan pangkalan data bersepadu ini akan menggalakkan pengisian perjawatan guru secara sistematik dan menepati unjuran,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!