Politeknik KK perluas kerjasama dengan pemain industri
KOTA KINABALU - Politeknik Kota Kinabalu memperluas kerjasama strategik bersama penggiat industri dengan menandatangani Sijil Kolaborasi (CoC) bersama empat agensi untuk terus memangkin kebolehpasaran graduan institusi itu.
Agensi berkenaan ialah Institute of Materials Malaysia (IMM), Material Technology Education (MTE), Persatuan Industri Kayu-Kayan Sabah (STIA) dan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS).
Pada majlis menandatangani CoC itu, Politeknik Kota Kinabalu diwakili Pengarahnya Ts Zainab Othman, IMM diwakili Pengerusi Jawatankuasa Kerja Profesional Muda Mohd Fairuz Mohd Salleh, MTE diwakili Pengarahnya Karen Cheng, STIA diwakili Setiausaha Agungnya Alfred Yong Chin Keong dan manakala Ketua Bahagian Pembangunan Sumber Manusia Roslan Lalete mewakili JPS.
CoC berkenaan ditandatangani selepas Majlis Dialog Bersama Industri bersempena Karnival Kerjaya Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Sabah 2019 di Politeknik Kota Kinabalu di sini, hari ini.
Bercakap kepada Bernama, Ts Zainab berkata, dengan termeterainya kolaborasi itu, politeknik tersebut kini mempunyai 113 rakan industri daripada pelbagai sektor.
Beliau berkata kerjasama dengan penggiat industri adalah penting bagi memastikan kualiti program serta pendidikan TVET di politeknik berkenaan mampu memenuhi kehendak industri dan sesuai dengan perkembangan revolusi perindustrian, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduannya.
"Jalinan kolaborasi itu penting kerana Politeknik Kota Kinabalu dan penggiat industri boleh berkongsi ilmu, peralatan serta kepakaran dan ia perlu terus dikekalkan dari semasa ke semasa.
“Penggiat industri juga boleh menjadi penasihat serta memberi input bagi memantapkan lagi kurikulum institusi ini supaya memenuhi kehendak industri dan pasaran pekerjaan memandangkan perkembangan teknologi yang begitu pantas ketika ini," katanya.
Mengenai Karnival Kerjaya TVET, Ts Zainab berkata, ia dianjurkan dengan kerjasama Kolej Komuniti Sabah dan Jabatan Tenaga Kerja Sabah supaya belia khususnya para graduan institusi TVET di negeri itu berpeluang mencari pekerjaan.
Lebih 500 pekerjaan ditawarkan oleh 22 syarikat dan agensi pekerjaan yang menyertai karnival berkenaan, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!