Operasi lebih pekerja, kilang proses makanan laut dikompaun

Pemeriksaan pematuhan SOP dijalankan pihak berkuasa terhadap sebuah kilang memproses makanan laut di Kuala Kurau pada Isnin.
Pemeriksaan pematuhan SOP dijalankan pihak berkuasa terhadap sebuah kilang memproses makanan laut di Kuala Kurau pada Isnin.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Sebuah kilang memproses makanan laut di Kuala Kurau di sini dikompaun RM10,000 selepas dikesan beroperasi melebihi had pekerja ditetapkan.

Tindakan itu diambil menerusi operasi bersepadu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar jam 10 pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, pemeriksaan dijalankan mendapati pengusaha kilang melanggar peraturan dengan membenarkan jumlah pekerja dalam pengoperasian kilang itu melebihi 60 peratus daripada kapasiti dibenarkan.

“Kilang ini merekodkan jumlah keseluruhan 146 pekerja, tetapi kita dapati jumlah pekerja yang sedang bekerja pada waktu itu adalah seramai 100 orang iaitu melebihi had yang dibenarkan.

“Bagi kesalahan itu pemilik kilang dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar peraturan yang diperuntukkan bagi pengoperasian kilang di bawah Peraturan 16 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya selepas mengetuai operasi ke kilang terbabit pada Isnin.

Beliau berkata, Pengurus Bahagian Sumber Manusia kilang berkenaan turut dikompaun RM2,000 selepas gagal memastikan bacaan suhu pekerjanya dicatat.

“Polis turut mengeluarkan kompaun RM1,500 ke atas seorang pekerja kilang terbabit kerana tidak mengimbas aplikasi MySejahtera ketika operasi sedang berjalan,” katanya.

Beliau berkata, polis setakat ini berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP bagi semua premis sektor pembuatan dan perkilangan di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Daripada premis diperiksa, katanya, kebanyakannya melakukan kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, tidak memeriksa suhu dan tidak mengimbas aplikasi MySejahtera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!