Jumlah penonton Olimpik Tokyo 2020 dihadkan 50 peratus
JUMLAH penonton bagi temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan bermula 23 Julai ini dihadkan kepada 50 peratus kapasiti venue dan maksimum 10,000 orang di semua venue, kata Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Isnin.
Bagaimanapun, angka itu tidak termasuk pelajar yang hadir di bawah program sekolah dan penyelia mereka kerana mereka bukan penonton.
“Jadual pertandingan sedia ada tidak berubah. Secara prinsipnya, kehadiran penonton pada acara sukan tertakluk kepada had yang dinyatakan,” kata IOC dalam kenyataan.
Sebelum ini, penganjur menolak kehadiran penonton asing.
Bagaimanapun kata IOC, semakan semula akan dibuat terhadap jumlah penonton termasuk menimbang pertandingan diadakan tanpa kehadiran penonton, sekiranya perintah darurat atau langkah-langkah lain bagi mengekang jangkitan Covid-19 dikuatkuasakan selepas 12 Julai.
Garis panduan lain yang diumumkan hari ini termasuk pemakaian pelitup muka pada sepanjang masa, larangan menjerit atau bercakap dengan suara yang kuat serta meninggalkan venue secara berperingkat.
IOC berkata, penonton akan diminta bergerak terus dari rumah ke venue dan sebaliknya apabila tamat pertandingan, selain mengambil langkah berjaga-jaga apabila melakukan perjalanan merentasi wilayah.
Garis panduan itu diputuskan pada mesyuarat hari ini antara IOC, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020, Kerajaan Metropolitan Tokyo dan kerajaan Jepun.
IOC berkata, jika berlaku perubahan mendadak pada status jangkitan dan kapasiti sistem penjagaan perubatan, mesyuarat lima pihak itu akan diadakan bagi menimbang langkah-langkah seterusnya.
Dasar berhubung perkara sama bagi Sukan Paralimpik akan diputuskan pada 15 Julai, seminggu sebelum temasya Olimpik bermula, kata IOC.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!