Jakim semak dakwaan padam fatwa ‘Amanat Haji Abdul Hadi’
SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan akan memeriksa dahulu dakwaan memadamkan fatwa ‘Amanat Haji Abdul Hadi’ di laman rasminya.
Menurut laporan Malaysiakini, Ketua Unit Komunikasi Korporat Jakim, Zakaria Othman berkata, pihaknya akan menyemak dakwaan berkaitan fatwa yang berkait dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
“Saya semak dulu,” katanya pada Isnin.
Sejak dilontarkan pada tahun 1981 di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu, ucapan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang itu mengundang kritikan kerana dianggap memecah-belahkan umat Islam.
Laporan media menyebut Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mengesahkan Majlis Fatwa Kebangsaan mengisytiharkan 'Amanat Haji Abdul Hadi' sebagai sesat.
Pada Isnin, tular tangkap layar ciapan pengguna Twitter yang mempersoalkan tindakan Jakim yang dipercayai memadam fatwa ‘Amanat Haji Abdul Hadi’.
"Apakah benar @MyJakim telah memadam fatwa amanat Haji Hadi yang telah difatwakan haram pada 2002?
"Jangan permainkan hukum sebab politik,” ujarnya dalam ciapan Twitter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!