Angan-angan Mat Jenin UAV
PADA suatu masa dahulu anak-anak kecil di kampung kerap mendengar cerita Mat Jenin. Ia mengenai seorang pemuda yang kuat berangan-angan untuk mengubah kehidupan masa hadapan kepada yang lebih baik.
Ini sebenarnya bukan sesuatu yang negatif kerana perkataan ‘angan-angan’ tersebut jika diterjemahkan oleh pakar motivasi hari ini boleh dijadikan positif sebagai ‘keazaman’.
Dari perspektif pertahanan negara, Kementerian Pertahanan sejak dari dahulu mempunyai ‘angan-angan’ untuk memperkasa kemampuannya sehingga mencapai tahap berdikari.
Pada tahun 2020, ia ditekankan melalui Kertas Putih Pertahanan negara.
Bab 7 membincangkan sains, teknologi dan industri pertahanan sebagai komponen penting bagi mencapai keupayaan berdikari dalam menyokong ekosistem pertahanan negara di samping berpotensi untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Sejauh manakah kesungguhan untuk menukarkan angan-angan itu kepada keazaman dalam merealisasikan kehendak berdikari dalam bidang pertahanan? Tidak keterlaluan jika disimpulkan bahawa natijahnya amat menggusarkan.
Ramai pemain industri dan pihak kementerian berkaitan mungkin menyangkal kenyataan itu, hakikatnya kita masih berada di takuk lama
Antara bidang teknologi penentu tempur dianggap kritikal hari ini ialah teknologi pesawat tanpa pemandu atau UAV.
Sebagai contoh Perang Armenia dan Arzabaijan serta konflik di Gaza pada tahun ini membuktikan penggunaan aset ini sangat efektif dan digeruni musuh.
Malaysia sebenarnya telah mempunyai pelan perancangan yang komprehensif untuk membangunkan pesawat UAV tersendiri sejak tahun 2008.
Pada 2008, firma-firma utama tempatan berkaitan pembinaan UAV telah merangka pelan pembangunan program UAV nasional. Ini merupakan perkembangan positif setelah berjaya membangunkan tiga UAV iaitu Aludra Mk1, Mk2 dan Mk3.
Mengikut pelan perancangan ini pada 2009, sistem beban penderia akan dibangunkan. Menjelang 2010, penekanan adalah untuk membangunkan sistem UAV berkipas seperti helikopter diikuti sistem dron sasaran pada 2011.
Pada 2012, sistem UAV negara bakal disepadukan dengan sistem satelit dan rangkaian sistem maklumat Kementerian Pertahanan.
Program yang mahu dibangunkan oleh industri tempatan sememangnya selaras dengan perkembangan teknologi tempur hari ini dan masa hadapan.
Ia juga berkemampuan menjana dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, seperti yang terkandung pada bab 7 Kertas Putih Pertahanan.
Apa yang peliknya ialah angan-angan itu kemudiannya menjadi kenyataan, namun bukan kepada Malaysia, tetapi Turki, yang telah berjaya menukar perkataan angan-angan kepada keazaman.
Pada awal tahun 2000, Turki turut mula membangunkan sistem UAVnya.
Pada awalnya ia mempunyai pesawat yang menggunakan enjin buatan negara asing, sistem pemanduan dari negara asing, komputer data penerbangan negara asing, malah sistem radio dan penderia juga dari negara asing.
Namun industri mereka tidak pernah mengalah dan terus berazam membangunkan sistem buatan sendiri, selain sokongan pihak kerajaan.
Menjelang 2019, 75 UAV dan dron buatan tempatan telah digunakan dalam perkhidmatan tentera darat Turki dan beroperasi di konflik-konflik seperti di Syria, Iraq, Libya dan Azerbaijan dengan prestasi yang mengagumkan.
Ia juga mengeksport UAV / dron ke Qatar, Ukraine, Tunisia dan Azerbaijan.
Untuk Malaysia pula, program UAV nasional telah lama berkubur. Hari ini kita hanya mampu mengguna enam UAV yang disedekahkan oleh pihak Amerika Syarikat pada 2020.
Mat Jenin nampaknya akan terus berangan-angan, manakala kemampuan dan kepakaran anak tempatan dalam bidang UAV akan terus dipinggirkan dan seakan-akan tidak dihargai. Sampai bila akan terus begini?
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!