Kenapakah sukar untuk tutup Penjara Teluk Guantanamo?

Gambar fail menunjukkan para tahanan di Penjara Teluk Guantanamo milik tentera Amerika Syarikat di Cuba. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan para tahanan di Penjara Teluk Guantanamo milik tentera Amerika Syarikat di Cuba. - Foto AFP
A
A
A

KEPUTUSAN terbaru melibatkan dua rakyat Yemen dan tiga lagi tahanan lain termasuk banduan paling tua yang ditahan di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba oleh Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan memberi petunjuk bahawa pusat tahanan itu makin hampir untuk ditutup.

Pada Jumaat lalu, Jabatan Pertahanan AS mengumumkan bahawa dua warga Yemen yang ditahan pada tahun 2002 setelah mereka dituduh membantu kumpulan Al-Qaeda dan sudah ditahan di penjara tersebut selama kira-kira 17 tahun telah mendapat kelulusan untuk dibebaskan pada 8 Jun lalu.

Bagaimanapun, salah seorang warga Yemen itu, Ali al-Hajj al-Sharqawi, 47, telah diseksa oleh anggota-anggota Agensi Perisikan Pusat (CIA) setelah ditahan di Pakistan.

Dia dituduh memindahkan rekrut-rekrut yang berjuang menentang AS di seluruh Asia Barat dan melakukan pemindahan wang untuk Al-Qaeda serta merekrut para pengawal peribadi untuk pengasas kumpulan berkenaan, Osama bin Laden.

Seorang lagi rakyat Yemen, Abd Al Salam Al Hilal, 47, yang juga pegawai kerajaan Yemen dibebaskan dari penjara tersebut dan tidak pernah dituduh menyediakan aktiviti-aktiviti untuk kumpulan berkenaan.

Dia ditahan di Kaherah, Mesir pada tahun 2002 sebelum diserahkan kepada kerajaan AS.

Kedua-duanya dibebaskan selepas tidak didakwa melakukan sebarang kesalahan membantu Al-Qaeda.

Sebelum mereka, seorang tahanan paling tua di penjara itu, Saifullah Paracha yang berumur 73 tahun dari Pakistan turut mendapat kelulusan untuk dibebaskan bersama seorang lagi rakan senegaranya, Abdul Rabbani, 47, bersama seorang lagi warga Yemen, Uthman Abdul al-Rahim Uthman, 40.

Artikel Berkaitan:

Kesemua mereka yang ditahan itu tidak pernah didakwa oleh AS walaupun dituduh membantu Al-Qaeda.

Dua lagi warga Malaysia iaitu Mohammad Nazir Lep, 44, yang juga dikenali sebagai Bashir Lap atau Lilie dan Mohd Farik Amin, 46, ditahan di penjara tersebut lebih 14 tahun lalu kerana dituduh melakukan serangan bom di Bali pada tahun 2002 dan di sebuah hotel di Jakarta pada tahun 2003.

Pada Januari lalu, Washington mengumumkan kedua-dua mereka akan didakwa bersama seorang rakyat Indonesia, Riduan Isamuddin atau lebih dikenali sebagai Hambali iaitu ketua kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) setelah ketiga-tiganya ditangkap di Thailand.

Kumpulan JI yang dibantu Al-Qaeda itu didakwa melakukan serangan bom di Bali yang menyebabkan 202 orang terbunuh, kebanyakannya pelancong asing pada tahun 2002 dan di sebuah hotel di Jakarta pada tahun 2003 sehingga mengakibatkan 12 orang lagi maut serta beratus-ratus lagi cedera.

Pada Januari lalu, terdapat kira-kira 40 tahanan masih lagi berada di dalam penjara tersebut yang diwujudkan pada tahun 2002 semasa AS berada di bawah pentadbiran Presiden AS ke-43, George W Bush ekoran 'perang memerangi keganasan' yang berlaku akibat serangan 'pengganas' di Amerika pada tahun 2001.

Hampir 800 tahanan telah ditempatkan di jel itu termasuk rekrut-rekrut yang berjuang menentang AS di medan perang Afghanistan dan ketika pada zaman Presiden AS ke-44, Barack Obama, bilangan penghuni penjara itu ialah kira-kira 300 orang.

Selepas berbelas-belas tahun, penjara di Teluk Guantanamo menjadi isu berhubung dakwaan penderaaan dan kini Presiden AS, Joe Biden dilaporkan memulakan usaha secara diam-diam bagi menutup jel tersebut.

Biden dilaporkan menggerakkan usaha-usaha bagi membolehkan beberapa isu diselesaikan bagi menutup penjara tersebut dari segi undang-undang dan hak asasi manusia.

Joe Biden - Foto AFP
Joe Biden - Foto AFP

Usaha-usaha itu perlu digerakkan sebelum ulang tahun ke-20 'serangan pengganas' di AS pada 11 September tahun ini.

Serangan itu berlaku pada 11 September 2001 lalu telah menyebabkan hampir 3,000 orang terbunuh di AS dan 6,000 lagi cedera.

Namun, Biden pernah berjanji akan menutup penjara tersebut semasa kempen pilihan raya Presiden AS pada tahun 2020 dan menurut AFP, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki berkata, pemimpin Amerika itu masih kekal untuk melakukan penutupan penjara tersebut.

Sejak memimpin Amerika pada Januari lalu, beliau telah menarik sokongan Amerika ke atas tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi bagi menentang kumpulan Houthi di Yemen, membuat keputusan mengundurkan semua askarnya dari Afghanistan, mengurangkan anggota-anggota tentera dari Arab Saudi tetapi menyebelahi Israel dalam pertempuran dengan pergerakan Hamas di Palestin.

Bagaimanapun, sehingga kini penjara itu yang pernah mendapat desakan daripada pertubuhan hak-hak asasi manusia, Amnesty International supaya ditutup masih lagi dibuka.

Rumah Putih pula baru-baru ini menyatakan sudah menjadi hasrat pihaknya untuk menutup penjara tersebut sebelum penggal pemerintahan Biden berakhir pada awal tahun 2025.

Persoalannnya, kenapakah mengambil masa terlalu lama untuk menutup penjara yang mendapat jolokan nama sebagai pusat tahanan Muslim Guantanamo itu? - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!