Madrasah Rahmaniyah tempat kanak-kanak Rohingya belajar ngaji
SHAH ALAM - Dibuka sejak 15 tahun lalu, Madrasah Rahmaniyah, Persatuan Ibu Bapa Rohingya (PIBR) yang terletak di Kampung Sungai Pinang Dalam, Klang menjadi tempat kanak-kanak pelarian Rohingya di kawasan sekitar mengikuti kelas bacaan al-Quran.
Menurut Rukiah Mohd Ali yang membantu hal-hal pentadbiran di Madrasah Rahmaniyah, kanak-kanak pelarian Rohingya itu digalakkan mengikuti kelas pengajian di madrasah terbabit agar berpeluang menimba ilmu agama selain pengajian akademik di sekolah biasa.
“Madrasah usang ini mempunyai kira-kira 58 pelajar berumur dari tiga tahun hingga ke belasan tahun. Bagaimanapun, hanya seorang tenaga pengajar lelaki yang juga pelarian Rohingya menjadi guru di sini.
“Setiap hari kelas bermula selepas waktu Zohor dan bagi pelajar yang bersekolah mereka akan mengikuti kelas di madrasah setelah selesai sesi persekolahan masing-masing pada sebelah pagi,” ujar Rukiah ketika kunjungan Sinar Harian ke madrasah itu.
Rukiah menambah, kos mengendalikan madrasah termasuk pembayaran bil utiliti, gaji tenaga pengajar, pemandu van serta penyediaan makanan tengah hari untuk para pelajar sebahagian besar dibiayai hasil sumbangan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan yang prihatin.
“Selain meminta sumbangan ikhlas sebulan sekali daripada ibu bapa pelajar, kami juga membuat rayuan sumbangan di media sosial,” katanya.
Ujarnya lagi, tidak semua kanak-kanak pelarian Rohingya berpeluang merasai alam persekolahan, namun bagi yang bernasib baik bersekolah dan mengikuti kelas agama seperti di Madrasah Rahmaniyah ini mereka berpotensi menambah baik taraf kehidupan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!