‘Kewangan kami lebih stabil’
Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) yang menjadi topik hangat baru-baru ini sudah mula memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang dari segi peluang pekerjaan.
Peluang pekerjaan ini sedang dimanfaatkan oleh beberapa orang graduan muda dari Pulau Pinang yang menghadapi cabaran mendapat pekerjaan di negeri sendiri selepas tamat pengajian di universiti.
Untuk mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik, Siti Nur Amanina Hasmadi, 26, dan Tan Yen Ping, 25, meninggalkan ibu bapa mereka untuk bekerja di Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Namun akhirnya mereka terpaksa pulang untuk menjaga ibu bapa mereka yang sakit. Tanpa PSR, mereka perlu memilih antara pekerjaan dan ibu bapa.
Amanina dari Teluk Kumbar telah bekerja sebagai pekerja kontrak dalam bidang landskap di Putrajaya selama setahun sebelum pulang ke Pulau Pinang untuk menjaga bapanya yang menjalani pembedahan akibat masalah saluran darah tersumbat.
Dia yang berkelulusan Sains Pertanian membantu bapanya menternak ikan keli selama setahun sebelum mendapat pekerjaan baru sebagai kerani bahagian sumber manusia dalam projek PSR.
“Ini pekerjaan tetap saya yang pertama. Saya mendapat tahu tentang kekosongan jawatan daripada orang kampung. Saya kemudian menghantar borang dan resume kepada Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN),” katanya.
PPSN ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mempelopori projek PSR untuk menyampaikan maklumat sahih mengenai pembangunan PSR kepada masyarakat setempat, menjadi perantara antara kerajaan negeri dan nelayan selatan Pulau Pinang serta pusat pendaftaran pekerjaan bagi masyarakat tempatan yang berminat bekerja dalam projek PSR.
Amanina berkata, PPSN telah menerima lebih 800 permohonan pekerjaan dalam beberapa tahun ini, dan dia bersyukur permohonannya telah berjaya.
“Saya mula berkhidmat dalam projek bulan Disember lalu. Gaji saya sekarang lebih baik dan saya dapat menjaga ibu bapa serta menolong meringankan beban kewangan keluarga,” katanya.
Amanina mengaku pernah membantah pelaksanaan PSR tetapi dia kini sedar projek tersebut akan membawa banyak kebaikan kepada anak tempatan, terutamanya dari segi pekerjaan.
“Ramai telah kehilangan pekerjaan dan mata pencarian sejak penularan wabak Covid-19. Projek ini perlu supaya rakyat Pulau Pinang lebih senang mendapat pekerjaan di negeri sendiri dan tidak perlu mencari di tempat lain,” katanya.
Mampu jaga keluargaSementara itu, Yen Ping yang tamat pengajian di Universiti Sains Malaysia pada tahun 2019 telah bekerja sebagai juruukur bahan di Kuala Lumpur selama setahun sebelum mendapat peluang bekerja di Pulau Pinang.
Dia yang kini bekerja sebagai juruukur bahan dalam projek PSR akui sangat bersyukur kerana tidak lagi tinggal berjauhan daripada ibunya yang sakit diabetes.
“Bapa saya sudah tiada, mak sudah berumur 63 tahun tidak bekerja dan tinggal seorang diri. Penyakit diabetes juga menyebabkan mak menghadapi masalah kesihatan lain.
“Semasa saya di Kuala Lumpur, saya selalu berasa risau tentang keadaan mak. Saya berasa sangat bertuah dapat balik ke Pulau Pinang untuk menjaga mak dan tidak perlu kehilangan pekerjaan,” kata anak tunggal yang berasal dari Perai ini.
Muhammad Hafiz Abdul Rahman, 29, dari Penanti, Permatang Pauh pula terpaksa melepaskan peluang pekerjaan yang lebih baik di Kuala Lumpur untuk menjaga keluarganya di kampung selepas tamat pengajian.
Sebagai anak sulung dengan tiga adik perempuan yang masih bersekolah, Hafiz tidak mahu berpindah jauh dari keluarganya yang hanya bergantung kepada gaji bapa bekerja sebagai pemandu lori.
“Sebelum saya bekerja dalam projek PSR sebagai eksekutif yang berurusan dengan pemegang taruh (stakeholder), saya pernah menjadi staf kontrak di sebuah agensi kerajaan. Tempoh kontrak itu tamat di penghujung tahun 2019.
“Semasa saya mencari pekerjaan baru, mujurlah projek PSR menawarkan pekerjaan. Selepas setengah tahun bekerja di situ, saya menjadi staf tetap,” kata Hafiz yang mempunyai ijazah dalam bidang kewangan.
Pekerjaan tetap dengan gaji yang stabil itu membolehkan Hafiz membantu adiknya membiayai kursus kejururawatan, mendirikan rumahtangga dan bersiap sedia untuk menyambut kelahiran cahaya mata pertama.
“Aktiviti ekonomi yang boleh menghasilkan banyak pekerjaan adalah penting. Tanpa pekerjaan, kita tak dapat hidup dengan lebih baik atau memberi yang lebih baik kepada keluarga kita,” tambahnya.
Peluang pekerjaanMenurutnya, beberapa orang nelayan tempatan juga telah diambil bekerja sebagai pembantu operasi dalam projek dan pelaksanaan pulau pertama PSR secara beransur-ansur mewujudkan 15,000 pekerjaan lagi bagi memanfaatkan lebih ramai anak Pulau Pinang.
“Ramai menganggap projek pembangunan hanya mewujudkan pekerjaan bagi pekerja buruh yang rata-ratanya orang asing, tetapi projek pembinaan juga memerlukan jurutera, arkitek, juruukur dan pekerja profesional yang memberi perkhidmatan kejuruteraan, perakaunan, sumber manusia, pentadbiran, teknologi maklumat dan sebagainya,” katanya.
Farizan berkata, pelaksanaan projek juga akan membantu syarikat-syarikat pembekal bahan dan perkhidmatan mendapat peluang perniagaan baru dan mengekalkan pekerja-pekerja mereka.
Setakat ini, beberapa firma perunding dan firma kejuruteraan telah dilantik untuk perancangan awal kerja-kerja tambakan dan mereka bentuk infrastruktur seperti jalan raya utama dan lain-lain.
“Begitu juga dengan syarikat-syarikat juruukur, perunding-perunding kerja tanah termasuk kerja-kerja penyiasatan tanah (soil investigation) telah dilantik untuk pelaksanaan projek ini. Keutamaan kepada syarikat-syarikat kejuruteraan tempatan akan diberi bagi menjamin penglibatan mereka dalam memajukan Pulau Pinang.
“Sebagai pemilik projek, kerajaan negeri menekankan pengambilan anak tempatan bekerja. Kami percaya pengalaman pekerjaan dalam projek sebesar ini akan melatih mereka menjadi professional yang lebih baik dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi,” katanya.
Selain itu katanya, komuniti nelayan turut akan mendapat manfaat daripada projek menerusi pelaksanaan Pelan Pengurusan Impak Sosial, sambil meneruskan pekerjaan mereka sekarang.
“Seperti yang diumumkan, projek akan menyediakan saluran navigasi seluas 250m yang membolehkan nelayan ke laut bila-bila masa,” katanya sambil memberitahu aktiviti perikanan tidak akan terhenti kerana kawasan penangkapan ikan untuk nelayan pesisir pantai jauh lebih luas daripada tapak PSR.
Sementara itu, Rozali Yob, 51, seorang nelayan selatan Pulau Pinang yang pernah meminta pekerjaan dalam projek PSR tetapi tidak berjaya, menyuarakan harapan untuk diberi peluang bekerja apabila ada kekosongan jawatan yang sesuai.
Dia yang menjadi nelayan sejak usia 12 tahun berkata, kehidupan nelayan semakin sukar kerana hasil laut sudah berkurangan walaupun kerja penambakan belum bermula.
“Tiada masa depan kalau terus menjadi nelayan. Saya rasa baik juga kalau boleh dapat kerja dalam projek ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!