Shure lancar ekosistem audio untuk pembelajaran lancar
KUALA LUMPUR – Institusi pendidikan awam dan swasta kini berusaha gigih untuk mengguna pakai, menambah baik atau menggantikan rumusan sedia ada bagi menyokong kaedah pembelajaran baharu, hibrid (di rumah atau di dalam kelas) dan model pengajaran berikutan pandemik global.
Keperluan ini semakin mendesak berikutan pelaksanaan Fasa2 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh yang bermula 15 Jun lalu.
Sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi terpaksa terus ditutup di dalam fasa PKP ini.
Peningkatan penggunaan kaedah pembelajaran jarak jauh mendesak penyusunan semula mengenai jenis keupayaan AV bagi memaksimumkan pelaburan di dalam perisian platform persidangan video seperti aplikasi Zoom, MS Teams yang membolehkan interaksi dengan pelajar semasa pengajaran berlangsung.
Memang tidak dinafikan audio berkualiti tinggi memberi impak positif terhadap kolaboratif dan pembelajaran jarak jauh.
Oleh itu, institusi pendidikan tinggi kini mencari kaedah untuk menyepadukan kesemua platform tersebut dengan teknologi berangkaian dan berkesan yang boleh menyediakan audio berkualiti tinggi.
Pengurus Komunikasi Pemasaran Shure South Asia Limited, Kevin Koh berkata, kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science Communication oleh USC dan Australian National University menunjukkan bukan sahaja kualiti audio mempengaruhi apa yang orang dengar, malah ia juga mempunyai impak langsung terhadap tahap berhubungan dan produktiviti, di samping melonjakkan kewibawaan penyampai.
“Ketika sektor pendidikan di Malaysia meneruskan trend ke arah pembelajaran maya, kami percaya institusi pendidikan juga memilih untuk mendapatkan rumusan berjangka panjang berbanding hanya sementara,” kata beliau dalam kenyataan pada Selasa.
Penyelidikan dan pasaran telah mengunjurkan pasaran pendidikan maya di peringkat global akan tumbuh kepada AS$350 bilion (RM1.44 trilion) menjelang 2025.
Angka ini dijangka terus naik berikutan pandemik Covid-191. Sama juga, saiz pasaran persidangan video global dijangka mencecah AS$10.92 bilion (RM45.26 bilion) menjelang 2027, memaparkan CAGR sebanyak 9.7 peratus semasa tempoh unjuran, menurut Fortune Business Insights2.
Kevin berkata, kini masanya lebih kritikal bagi pentadbir di sekolah, kolej dan universiti awam serta swasta untuk faham dan menyusun strategi prasarana teknologi untuk pembelajaran secara maya dan hibrid yang memenuhi keperluan sekolah dan para pelajar.
"Melabur di dalam peralatan dan rumusan persidangan yang tepat adalah penting bagi memastikan pengalaman pembelajaran yang lancar bagi para pelajar sambil membolehkan sekolah berdaya saing dan mampu menghadap apa jua situasi di masa hadapan,” katanya.
Dalam usaha mengetengahkan trend dan teknologi terbaharu di dalam pembelajaran maya dan hibrid, Shure menerajui sebuah forum maya berjudul Trend dan Cabaran Pendidikan di Dalam Normal Baharu: Pentingnya Pembelajaran Lancar Menerusi Teknologi dan Audio Berkualiti pada 24 Jun, jam 2.30 petang.
Forum ini akan menampilkan Dr Gerard J Louis, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HELP Education Services, Pro-Naib Chanselor (Kesihatan Mental dan Kesejahteraan), Dekan Fakulti Sains Tingkah Laku, Pendidikan dan Bahasa HELP University; Dr Mas Jaffri Masarudin, Profesor Madya di Universiti Putra Malaysia dan Lim Ming Wei, Pengurus Pembangunan Pasaran bagi Concept Audio.
Wartawan penyiaran, penerbit dan penyampai Radio BFM Media, Audrey Raj akan bertindak sebagai moderator.
Perbincangan akan tertumpu kepada sistem pembelajaran maya di sekolah-sekolah.
Forum ini disusun khas bagi semua pentadbir sekolah serta jawatankuasa atau penyelaras sistem IT sekolah.
Butiran dan pendaftaran boleh didapati pada pautan https://www.conceptaudio.com.my/ecosystem-webinar atau layari www.conceptaudio.com dan penyertaan adalah percuma.
Forum ini juga serentak dengan pelancaran baru-baru ini, Shure Microflex Advance MXA710 Linear Array, pembesar suara Microflex MXN5-C Networked, dan MXA Network Mute Button yang dilancar pada akhir tahun 2020.
Produk-produk yang boleh didapati di pasaran global ini membolehkan Shure menawarkan rantaian isyarat audio yang lengkap, daripada mikrofon kepada DSP (pemprosesan isyarat digital) hingga pembesar suara, sebagai sebahagian daripada Ekosistem Shure Audio.
Ditubuhkan pada tahun 1925, Shure yang berpusat di Illinois, Amerika Syarikat telah menjadi peneraju global dalam pengeluaran peralatan audio, malah dikenali kerana kualiti, prestasi dan ketahanan produk yang dihasilkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!