'Saya tolak jajaran baru, saya tolak DAP dan Anwar': Mastura

Gambar tangkap layar daripada hantaran Facebook Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid yang menegaskan pendirian beliau menolak usaha penjajaran baharu UMNO membabitkan DAP dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Gambar tangkap layar daripada hantaran Facebook Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid yang menegaskan pendirian beliau menolak usaha penjajaran baharu UMNO membabitkan DAP dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
A
A
A

SHAH ALAM - Polemik pembentukan jajaran baharu di antara UMNO dan parti pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, terus menjadi tumpuan rakyat susulan seorang ahli Parlimen UMNO mengumumkan pendirian menolak usaha itu secara terbuka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Yazid dengan tegas menyatakan beliau menolak sebarang bentuk penjajaran baharu bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP menerusi satu hantaran laman sosial Facebook yang dimuat naik pada Isnin.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu, beliau turut beristiqamah untuk mempertahankan Institusi Raja-raja Melayu secara ikhlas dan tidak akan sesekali mengkhianati ketetapan parti yang telah dikemukakan menerusi Perhimpunan Agong UMNO (PAU) 2020.

"Dengan ikhlas, saya istiqamah mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu,

"Saya menolak 'jajaran baru'. Saya menolak DAP dan DSAI (Anwar)," katanya menerusi satu hantaran Facebook peribadi yang dimuat naik pada Isnin.

Terdahulu, pada Isnin, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pendirian tegas parti itu mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan raja-raja Melayu agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh 21 Jun.

Ahmad Zahid berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong akan dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-raja Melayu.

Pada Rabu minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beberapa pemimpin UMNO dan pemerhati politik mendakwa tindakan Ahmad Zahid dan Biro Politik UMNO itu sebagai usaha untuk membentuk jajaran baharu dengan Pakatan Harapan (PH), seterusnya menubuhkan kerajaan baharu melalui usul undi tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Melalui satu lagi hantaran Facebook yang dimuat naik pada hari sama, Mastura menegaskan akan berpegang dengan keputusan UMNO untuk terus bersama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah sehingga pembubaran Parlimen dengan tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

"Ini keputusan parti!!

"Usul kedua Persidangan (Perhimpunan) Agung UMNO 2020 yang disampaikan oleh Datuk Saarani Mohamad (Pengerusi UMNO Perak) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), 28 Mac 2021 (menyatakan):

"Menerima dan mempertahankan keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada pada 19 Februari 2021, yang membuat ketetapan, tiada kerjasama dengan PPBM (Bersatu) dalam PRU15 dan kebersamaan dalam kerajaan PN diteruskan sehingga pembubaran Parlimen," katanya lagi.

Beliau turut berkongsi satu hantaran Facebook daripada seorang pemimpin akar umbi yang meminta pucuk kepimpinan UMNO tidak membuat satu keputusan terburu-buru, sebaliknya meneruskan kebersamaan dalam kerajaan PN sehingga Parlimen terbubar.

Sementara itu, Mastura sewaktu dihubungi Sinar Harian mengesahkan kesemua hantaran Facebook dimuat naik adalah bersumberkan akaun Facebook peribadinya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai sejauh mana usaha penjajaran baharu membabitkan UMNO sudah berjalan sehingga kini.

"Maafkan saya, saya hanya boleh sahkan 'posting' berkenaan adalah 'posting' saya sendiri," katanya melalui satu kiriman pesanan WhatsApp ringkas pada Selasa.

Ditanya sama ada keputusan terkini UMNO memberi kata dua kepada kerajaan PN untuk melaksanakan sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari dibuat setelah merujuk ahli-ahli Parlimen parti itu, Mastura hanya menjelaskan, "Itu keputusan Biro Politik UMNO".

Untuk rekod, ahli Parlimen UMNO adalah berjumlah 38 orang dengan 14 orang daripadanya dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri kerajaan PN sejak tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!