Anak babi sesat jadi 'penumpang' tren
HONG KONG - Penumpang sebuah tren cemas apabila seekor anak babi hutan tersesat dari habitatnya dan menaiki pengangkutan awam itu di Hong Kong, hingga videonya tular di laman sosial.
Situasi itu bagaimanapun dikendalikan dengan tenang malah penumpang begitu teruja merakam video aksi haiwan yang tidak diundang itu, lapor South China Morning Post (SCMP).
Kejadian berlaku jam 3.55 petang Jumaat itu dipercayai bermula apabila anak babi dipercayai sesat menceroboh stesen Quarry Bay di Hong Kong dan memasuki gerabak tren terbabit.
Rakaman video berdurasi 27 saat itu menunjukkan beberapa kakitangan cuba menangkap haiwan tersebut di dalam dan di luar gerabak dengan menggunakan kanvas dan jaring.
Bagaimanapun kerja-kerja menyelamat itu gagal sehingga anak babi tersebut lari memasuki tren kedua menuju ke Pelabuhan Victoria.
Pegawai Jabatan Perhilitan, Tseung Kwan O berkata, tren berkenaan terpaksa dihentikan di sebuah depot bagi membolehkan anggotanya menangkap haiwan itu.
Dalam insiden terbabit, tiada kecederaan dilaporkan dan pihak berkuasa berjaya menangkap haiwan tersebut sebelum menghantar kembali ke habitat asal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!