‘UMNO sokong saranan institusi raja, pulihkan demokrasi negara’

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SHAH ALAM – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan terdapat dua perkara apabila Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan kerajaan 14 hari untuk memanggil persidangan Parlimen.

Menurutnya, dua perkara itu adalah menyokong sepenuhnya saranan institusi raja dan memulihkan semula dengan kadar segera demokrasi di negara ini bagi mengembalikan sepenuhnya fungsi Parlimen.

“Pendirian ini insya-ALLAH akan dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi untuk ketetapan selanjutnya.

“Pendirian UMNO selama ini sangat jelas bahawa institusi raja mesti dipertahankan dan demokrasi mesti dikembalikan dengan memanggil persidangan Parlimen,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya pada Selasa.

UMNO melalui Ahmad Zahid mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan dikeluarkan parti itu pada Isnin.

Ahmad Zahid berkata, kegagalan kerajaan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Melayu.

ARTIKEL BERKAITAN 'UMNO beri kerajaan tempoh 14 hari buka Parlimen'

Mengulas lanjut, Mohamad turut berpandangan bahawa Parlimen wajar menjalankan peranannya sesuai dengan doktrin pemisahan kuasa.

“Semasa persidangan Parlimen, apa jua perkara boleh dibahaskan tetapi mestilah sesuai dengan peraturan mesyuarat.

Artikel Berkaitan:

“Memberikan pelbagai syarat tentang apa yang boleh dan tidak boleh dibahaskan serta diusulkan di Parlimen adalah tidak demokratik selain bercanggah dengan kebebasan Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, apa jua keputusan UMNO dalam kemelut politik semasa mesti bersandarkan mandat daripada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan dibincangkan secara kolektif oleh Majlis Kerja Tertinggi.

“Ini termasuklah kedudukan UMNO dalam kerajaan, menolak kerjasama dengan parti atau individu tertentu yang tidak akan menguntungkan UMNO serta pendirian UMNO tentang pelbagai isu semasa.

“Semua ketetapan yang telah diputuskan oleh PAU adalah terpakai dan Majlis Kerja Tertinggi wajar menterjemahkan mandat ini dengan sebaiknya.

“Semoga kita terus bertaut antara satu sama lain dan menghindari segala usaha memecah-belahkan kesatuan dalam parti UMNO ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!