Deschamps mahu serangan Les Bleus lebih berbisa
PENGENDALI Perancis, Didier Deschamps berharap jentera serangan skuad Les Bleus itu lebih berbisa menjelang aksi ketiga peringkat Kumpulan F, Euro 2020 berdepan juara bertahan, Portugal di Stadium Ferenc Puskas, awal pagi Khamis.
Menurut Deschamps, biarpun telah mengesahkan slot beraksi pada saingan 16 pasukan terbaik, namun dia tetap mengharapkan agar skuad kendaliannya itu tampil lebih tajam di depan gawang lawan kelak.
Justeru Deschamps berkata, dia mengharapkan trio penyerang seperti Antoine Griezmann, Klian Mbappe dan Karim Benzema mampu memimpin jentera serangan pasukan dalam usaha menjaringkan lebih banyak gol selepas ini.
“Berdasarkan kepada pengalaman yang dimiliki saya fikir mereka boleh ‘melakukannya.’ Seperti Benzema, dia telah beraksi dengan baik setakat ini dan dia tahu dia boleh ‘menyumbang’ lebih kepada pasukan dan bukan hanya menjaringkan gol semata-mata.
“Sebenarnya apa diinginkan oleh setiap penyerang pada setiap kejohanan atau pertandingan yang disertainya adalah untuk menjaringkan gol pertamanya; kerana setelah berjaya menjaringkan gol pertamanya, pada kebiasaanya gol kedua ketiga, keempat bakal menyusul,” katanya.
Deschamps berkata demikian bagi mengulas mengenai perihal ketumpulan jentara serangan Les Bleus yang dilihat agak ketara pada Euro kali ini setelah hanya menjaringkan dua gol ketika menewaskan Jerman 1-0, 16 Jun lalu dan terikat 1-1 ketika berdepan Hungary (19 Jun).
Menurut Deschamps, masalah ketumpulan jentera serangan itu perlu segera diperbaiki segera, jika mahu mara lebih jauh pada saingan Euro kali ini.
Sementara itu, Deschamps berharap agar skuad kendaliannya itu beraksi sebaik mungkin ketika berdepan Portugal dalam usaha mencatatkan kemenangan.
Menurut Deschamps, aksi yang juga dilihat seperti ‘aksi ‘ulangan’ bagi final Euro 2016 lalu itu, dijangka akan berlangsung dengan sengit apabila Portugal sudah pasti mahukan kemenangan untuk mengesahkan slot ke pusingan 16 pasukan terbaik manakala Deschamps juga mahu memastikan Perancis mara selaku juara bagi Kumpulan F.
“Walaupun Perancis telah layak ke pusingan 16 pasukan terbaik, tetapi kami tetap mahu mara selaku juara kumpulan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!