MKT UMNO belum bincang tempoh 14 hari Parlimen bersidang

Ismail Sabri - Foto Fail Bernama
Ismail Sabri - Foto Fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO belum berbincang mengenai tindakan yang akan diambil sekiranya Perikatan Nasional (PN) masih tidak membuka sidang Parlimen selepas tempoh 14 hari.

Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tempoh dua minggu diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga tidak dibincangkan di peringkat MKT.

“Tak ada bincang, UMNO menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Parlimen perlu disegerakan. Tidak ada percanggahan pandangan pembukaan Parlimen. Tidak ada percanggahan bagi sesiapa pun dalam UMNO.

"UMNO bersetuju Parlimen dibuka tapi secepat mungkin seperti dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ada pelbagai interpretasi.

"Tempoh 14 hari adalah pandangan daripada Biro Politik UMNO bukan MKT. Dari segi dasar, yang boleh memutuskannya adalah Majlis Tertinggi,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Sebelum itu, Ismail melawat veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Prebet Suria Mohammad Hassan yang kisah hidupnya bersama keluarga tular kerana tinggal di bawah jambatan akibat kesempitan hidup.

Kata Ismail, Biro Politik hanya boleh membuat cadangan namun keputusan muktamad berhubung pendirian parti perlu dibincang serta diputuskan di peringkat MKT.

"Soal apa akan jadi kalau tidak mengadakan sidang Parlimen dan mengenai tindakan UMNO masih tidak dibincangkan,” kata beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuka Parlimen bagi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

ARTIKEL BERKAITAN: Agong zahir pandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin

'UMNO beri kerajaan tempoh 14 hari buka Parlimen'

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!