ADUN dakwa hospital tolak pesakit Covid-19, tiada khidmat ambulans

Pasukan sukarelawan DAP Serdang menghantar pesakit Covid-19 ke Hospital Serdang. Ean Yong (kanan) menghantar pesakit ke hospital ke Hospital Serdang.
Pasukan sukarelawan DAP Serdang menghantar pesakit Covid-19 ke Hospital Serdang. Ean Yong (kanan) menghantar pesakit ke hospital ke Hospital Serdang.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa untuk memberi penjelasan terhadap tindakan hospital awam yang didakwa menolak dan menyukarkan pesakit dijangkiti Covid-19 untuk mendapatkan rawatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, pihaknya menerima banyak aduan dalam kalangan penduduk di kawasannya yang dinafikan perkhidmatan ambulans oleh Hospital Serdang.

Beliau berkata, pihaknya mengambil inisiatif dengan mengubah suai sebuah van untuk membawa pesakit ke hospital bagi menggantikan ambulans.

“Pagi tadi sekitar jam 6, seorang wanita positif Covid-19 mengalami sesak nafas di rumahnya di Taman Bukit Serdang, namun amat mengecewakan apabila operator Hospital Serdang meminta wanita tersebut untuk datang sendiri ke hospital kerana tiada ambulans ketika itu.

“Ini bukan satu isu yang kecil, ia telah berlaku secara berterusan sejak tahun lepas dan menunjukkan tanda-tanda kegagalan pada sistem kesihatan negara kita.

“Saya yakin ini bukan sahaja berlaku di Hospital Serdang tetapi juga berlaku kepada banyak hospital di kawasan Lembah Klang,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Pada masa sama, Ean Tong berkata, hospital awam tersebut juga didapati mengalami kekurangan katil dan ruang untuk merawat pesakit terutama bagi mereka yang dijangkiti Covid-19.

“Lebih mengecewakan apabila sukarelawan sampai di kaunter kecemasan bersama seorang pesakit semalam, mereka diberitahu supaya jangan hantar lagi pesakit Covid-19 ke sana kerana sudah tidak cukup katil.

Artikel Berkaitan:

“Ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan pesakit Covid-19 tetapi juga pesakit lain dan akhirnya menyebabkan kualiti kesihatan rakyat diabaikan,” katanya.

Dalam pada itu, ADUN Seri Kembangan itu turut membidas kerajaan Persekutuan yang didakwa lebih mementingkan politik dan gagal untuk mengawal penularan Covid-19 dengan cekap.

“Sudah hampir dua tahun wabak Covid-19 berlarutan, pemimpin kerajaan Persekutuan yang tidak cekap dan utamakan politik telah gagal untuk merancang sehingga kapasiti infrastuktur kesihatan negara sudah berapa di tahap kritikal,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!