Tapak pembinaan beroperasi lebih pekerja diarah tutup
SHAH ALAM - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) mengarahkan satu tapak pembinaan di Seremban menghentikan operasi serta-merta selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
CIDB dalam satu kenyataan pada Isnin, tapak pembinaan itu dikesan beroperasi dengan kapasiti melebihi 60 pekerja di tapak bina selain rumah penginapan pekerja yang disediakan tiada kelulusan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menurut kenyataan tersebut, kontraktor terbabit diberikan Notis N3E/ 2021 bagi kesalahan di bawah kewajiban kontraktor dan gagal mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Selain itu, notis N2/2015 (Notis Kemukakan Maklumat) dan notis pemberitahuan (Kesalahan di bawah kewajiban kontraktor) (Seksyen 34B), notis N9/2015 (Arahan hadir) serta tindakan menampal notis penutupan tapak.
“CIDB turut menyita tapak pembinaan dengan pita larangan masuk," kata kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan sama, CIDB memberikan peringatan kepada mana-mana kontraktor yang melanggar peruntukan Akta 520 atau mana-mana undang-undang bertulis termasuk Akta 342 (Akta pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit 1988) serta Akta 446 (Akta standard minimum perumahan dan kemudahan pekerja 1990).
Jelas CIDB, kesemua kesalahan terbabit boleh dibawa ke prosiding tindakan tatatertib kontraktor yang boleh dikenakan penalti tidak melebihi RM500,000 atau dikeluarkan mana-mana arahan dari CIDB.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!