MAIS belum tahu lokasi sebenar Sajat bersembunyi

Nur Sajat
Nur Sajat
A
A
A

KUALA SELANGOR - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) masih belum mengetahui lokasi sebenar usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat itu berada.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, setakat ini pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai lokasi persembunyian Muhammad Sajjad yang kini dikehendaki pihak berkuasa selepas dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Februari lalu.

"Secara rasmi, kita belum tahu di mana beliau berada pada masa sekarang," katanya ketika diminta mengulas perkembangan terkini Muhammad Sajjad pada sidang akhbar selepas menyampaikan pek makanan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Berlian Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini pada Selasa.

Ahmad Shahir berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk mengambil tindakan lanjut terhadap usahawan berkenaan.

"Kita serah kepada polis dan tunggu sebarang perkembangan terbaharu mengenai Muhammad Sajjad," kata beliau.

Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.

Sebelum ini media melaporkan bahawa Muhammad Sajjad didakwa sedang bersembunyi di Thailand.

Terbaharu, Muhammad Sajjad juga diminta polis untuk membantu siasatan kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan.

Artikel Berkaitan:

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam kenyataan pada 14 Jun lalu memaklumkan, Muhammad Sajjad yang merupakan saksi dikehendaki hadir prosiding perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Ampang Jaya pada 14 Julai ini.

ARTIKEL BERKAITAN Sajat dikehendaki polis kes penipuan kad pengenalan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!