BBC, pembangkang Selangor sokong pembukaan sidang DUN

Rizam Ismail, Elizabeth Wong
Rizam Ismail, Elizabeth Wong
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Penyokong Kerajaan (BBC) dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor senada menyokong titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan segera.

Pengerusi BBC, Elizabeth Wong dan Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Rizam Ismail dalam satu kenyataan bersama berkata, kedua-dua pihak amat menjunjung tinggi pandangan Al-Sultan Abdullah dan Raja-raja Melayu agar Parlimen bersidang segera untuk membincangkan isu negara dan rakyat dalam menangani pandemik Covid-19.

Menurut kenyataan itu, pihak mereka juga akan memberikan sokongan penuh kepada kerajaan negeri Selangor untuk membuka sidang DUN selaras dengan komitmen Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 17 Jun lalu.

"Kami akan memberi komitmen sepenuhnya agar inisiatif kerajaan negeri Selangor untuk membuka DUN Selangor dapat dilaksanakan segera selaras dengan titah dan pandangan Al-Sultan Abdullah dan Raja-raja Melayu," kata kenyataan tersebut pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, sidang DUN dan Dewan Rakyat amat penting supaya setiap perbahasan berkenaan isu-isu rakyat mampu diperhalusi bersama dalam agenda memerangi pandemik Covid-19.

"Keprihatinan Seri Paduka Baginda dan Raja-raja Melayu perlu diambil secara serius oleh semua pihak agar isu rakyat, ekonomi dan negara mampu ditangani dengan segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!