Insiden LRT: Semua mangsa dirawat di HKL dibenar pulang

Pada 25 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan tiga daripada enam mangsa kemalangan melibatkan tren LRT berhampiran stesen Kampung Baru dilaporkan mengalami pendarahan otak, dua patah tulang dan seorang luka kelopak mata. Gambar kecil: Wee Ka Siong
Pada 25 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan tiga daripada enam mangsa kemalangan melibatkan tren LRT berhampiran stesen Kampung Baru dilaporkan mengalami pendarahan otak, dua patah tulang dan seorang luka kelopak mata. Gambar kecil: Wee Ka Siong
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong merakamkan penghargaan kepada petugas Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas kesemua mangsa pelanggaran tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang dirawat di HKL dibenar pulang dengan pesakit terakhir didiscaj semalam (Isnin).

Dalam hantaran di akaun Facebook hari ini (Selasa), Ka Siong mengucapkan jutaan terima kasih kepada ‘unsung heroes’ dari HKL di bawah Ketua Jabatan Neurosurgery Dr Azmi Alias kerana menyelamat dan merawat semua mangsa yang tercedera.

“Tiada perkataan atau ayat yang dapat saya lafazkan kecuali ‘terima kasih dan thank you’. Hanya Tuhan yang dapat membalas jasa anda semua. Semoga semua pesakit sembuh sepenuhnya secepat mungkin,” katanya.

Menurut Ka Siong semalam (Isnin) seorang pesakit wanita berusia 31 tahun menjadi pesakit terakhir dibenar pulang dan akan meneruskan rawatan rehabilitasi, pemeriksaan dan susulan yang diatur oleh pakar-pakar perubatan HKL.

Beliau berkata, Khamis lepas, pesakit lelaki berusia 52 tahun yang juga cedera parah dalam insiden sama dibenar pulang dan kini mula menerima rawatan rehabilitasi selain rawatan susulan.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan otak yang agak parah dan mereka telah diselamatkan oleh pakar-pakar perubatan dan pembedahan HKL,” katanya.

Ka Siong berkata, dalam perbualannya semalam bersama keluarga mangsa, mereka menzahirkan ucapan tidak terhingga kepada Dr Azmi yang mengetuai pasukan pakar HKL dalam menjalankan pembedahan otak ke atas dua pesakit itu.

Beliau turut menelefon keluarga kepada seorang lagi pesakit wanita berusia 26 tahun yang kini berehat di rumahnya di Parit Buntar, Perak dan kini dalam proses pemulihan.

Artikel Berkaitan:

Sementara seorang lagi pesakit wanita yang dipindahkan dari HKL ke sebuah Pusat Perubatan swasta di Damansara untuk pembedahan bahagian rahang kini berehat di rumah dan keadaannya beransur pulih serta menjalani sesi fisioterapi, katanya.

Dalam insiden 24 Mei lepas, sebuah tren LRT tanpa penumpang bertembung dengan sebuah tren yang membawa 213 penumpang dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan stesen LRT KLCC menyebabkan 47 penumpang cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 213 mangsa insiden LRT akan terima bantuan khas RM1,000: Tajuddin

ARTIKEL BERKAITAN: Kemalangan LRT pertama kali selepas 23 tahun beroperasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!