Permohonan KPN, tiga lagi batalkan saman Indira Gandhi 1 Julai
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 1 Julai bagi keputusan permohonan Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga pihak lain untuk membatalkan saman guru tadika, M. Indira Gandhi berhubung dakwaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal menangkap bekas suaminya dan memulangkan anak perempuan yang dilarikan lelaki itu, 12 tahun lepas.
Peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili Indira semasa dihubungi Bernama berkata, tarikh itu ditetapkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendengar hujah kedua-dua pihak semasa prosiding dalam talian hari ini.
KPN, PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 14 Jan lepas.
Menurut salinan hujahan bertulis defendan, mereka mendakwa saman Indira adalah remeh dan menyusahkan atau suatu penyalahgunaan proses mahkamah.
Defendan juga berhujah bahawa saman tersebut membawa kepada pelbagai prosiding setelah tindakan perundangan yang sama telah difailkan wanita itu di Mahkamah Tinggi Ipoh yang masih belum selesai.
Mereka mendakwa plaintif (Indira) secara salah memfailkan saman semasa pelaksanaan waran komital bagi menangkap bekas suaminya K. Pathmanathan yang kini dikenali sebagai Muhammad Riduan Abdullah di bawah permohonan semakan kehakimannya di Ipoh masih belum selesai.
Oleh itu, defendan berhujah bahawa remedi yang dimohon dalam saman semasa perlu dibuat dalam proses semakan kehakiman tersebut dan meminta agar saman itu dibatalkan.
Bagaimanapun, Indira melalui penghujahan bertulisnya berkata, remedi yang dicarinya dalam tuntutan saman ini berbeza dengan proses semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Ipoh.
Dalam samannya yang difailkan pada 28 Okt tahun lepas, Indira, 46, mendakwa KPN telah dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan, kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya, untuk mengembalikan anaknya, Prasana Diksa, 13, kepadanya.
Dakwa wanita itu, kesemua defendan mempunyai peranan dalam membuat keputusan atau memberi arahan kepada PDRM, bagi melaksanakan waran komital terhadap bekas suaminya seperti yang diperintahkan Mahkamah Persekutuan, pada 29 April 2016.
Plaintif juga mendakwa kelakuan kesemua defendan secara langsung, menyebabkan perpisahan antara beliau dengan anak bongsunya itu berlanjutan sehingga hari ini dan Muhammad Riduan berjaya melarikan diri.
Indira menuntut RM100 juta antara lain bagi ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta faedah, selain memohon deklarasi bahawa defendan pertama telah melakukan tort nonfeasance di pejabat awam dan defendan kedua, ketiga dan keempat, bertanggungjawab secara vikarius bagi tort nonfeasance yang dilakukan defendan pertama. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!