Mekanik maut kepala terkena besi ketika tukar tayar kren

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena besi ketika menukar tayar kren di Menglembu, Ipoh pada Selasa. - Foto: Ihsan pembaca
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena besi ketika menukar tayar kren di Menglembu, Ipoh pada Selasa. - Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Seorang mekanik maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya dipercayai terkena besi yang terpelanting ketika menukar tayar kren di sebuah pusat penyelenggaraan tayar di Menglembu di sini pada Selasa.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai K Kumaresa, 60, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.35 pagi.

"Sampai di tempat kejadian, mangsa ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di bahagian muka.

"Berdasarkan keterangan saksi, dia terkejut apabila terdengar bunyi letupan dan besi 'beam' tayar yang digunakan terkena muka mangsa hingga menyebabkan parah sebelum terpelanting ke sisi," katanya.

Menurutnya, saksi kemudian memaklumkan kepada majikan sebelum menghubungi pihak polis dan ambulans.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!