Mayat hampir seminggu dalam danau ditemui
BATU PAHAT - Mayat seorang lelaki dipercayai sudah seminggu berada dalam danau di Tasik Tanjung Labuh di sini ditemui pada Selasa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Pegawai Bomba Kanan II L Kumar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan untuk mengangkat mayat berkenaan pada jam 5.52 petang.
Menurutnya, seramai 10 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Mayat mangsa berusia dalam lingkungan 40-an dipercayai hampir seminggu berada dalam danau sedalam enam kaki.
"Operasi menarik mayat tersebut dengan menggunakan 'grappling iron' untuk dibawa ke darat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!