Kerjasama UMNO, Pas tiada masalah, pengundi jangan terpedaya
KUALA LUMPUR - Umno menyangkal dakwaan kononnya pimpinan tertinggi parti itu berhasrat menilai semula kerjasama dengan Pas.
Ketua Penerangannya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan, kerjasama antara UMNO dan Pas amat baik dan semakin mantap ketika ini, terutama di PRK Dun Semenyih.
Susulan itu beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berharap semua pihak khususnya pengundi di Semenyih tidak terpengaruh dengan berita palsu berkenaan.
“Merujuk berita yang disebar menggunakan nama Portal UMNO Online. UMNO menafikan berita yang menyatakan pemimpin tertinggi UMNO mahu nilai semula kerjasama dengan Pas yang kononnya diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO.
“Kenyataan berkenaan adalah tidak benar dan palsu. Ia dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan pastinya kerana bimbang dengan kerjasama UMNO dan Pas yang begitu baik. Malah berita berkenaan tidak pernah dikeluarkan oleh UMNO Online.
Dalam sebaran WhatsApp palsu itu menyatakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO disarankan untuk menilai semula kerjasama dengan Pas, hal ini rentetan pendedahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan Pas akan memberi sokongan kepada Perdana Menteri jika berlaku undi tidak percaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!