Abang bomba bukan Superman
MERAK Jalanan terkesima menonton klip video seorang anggota bomba diserang oleh mangsa kebakaran di Sarawak baru-baru ini gara-gara lambat sampai ke tempat kejadian.
“Hancur rumah aku, kenapa kau lambat datang?” terdengar suara berteriak dalam video itu.
Ini bukanlah kali pertama anggota bomba diserang. Tidak lama dahulu, seorang anggota bomba ditendang dan dipukul semasa sedang memadam kebakaran di Sandakan, Sabah.
Puncanya dia tak puas hati bomba simbah air ke rumah lain dahulu, bukan ke rumahnya yang sama-sama terbakar.
Merak Jalanan tidak salahkan sesiapa. Kebakaran adalah ujian berat bagi mangsa. Rumah pusaka walaupun nampak usang, namun nilai sentimentalnya tidak dapat dijual beli.
Di kawasan bandar pula rumah bukannya murah. Bayangkan rumah teres dua tingkat berharga RM500,000 tiba-tiba hangus begitu sahaja. Orang yang pernah melaluinya sahaja tahu betapa cemasnya apabila rumah sendiri terbakar.
Tetapi orang ramai harus faham bomba juga manusia biasa yang bekerja menggunakan kudrat dan jentera. Mereka bukan Superman yang boleh datang sepantas kilat.
Ikutkan KPI bomba, mereka perlu sampai ke tempat kejadian di bawah 10 minit selepas panggilan kecemasan.
Namun daripada kira-kira 110,000 panggilan yang diterima pada 2019, mereka hanya capai 55 peratus di bawah 10 minit. Ini mungkin disebabkan jarak dan kesesakan lalu lintas.
Merak Jalanan perhatikan kerja bomba kini bukan sekadar memadam kebakaran, menolong mangsa kemalangan atau menyelamat orang lemas. Orang sesat di hutan panggil bomba, orang nak terjun bangunan panggil bomba, ular masuk rumah panggil bomba, haiwan jatuh longkang panggil bomba, sampaikan cincin tersangkut jari pun panggil bomba.
Jadi, sama-samalah kita beringat dan bersedia kerana malang tidak berbau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!