Van, bas kilang dikompaun RM244,000

Azmil (tengah) melihat kompaun yang dikeluarkan anggotanya kepada seorang pengusaha syarikat bas kilang di JPJ Cawangan Muar, Muar pada malam Selasa.
Azmil (tengah) melihat kompaun yang dikeluarkan anggotanya kepada seorang pengusaha syarikat bas kilang di JPJ Cawangan Muar, Muar pada malam Selasa.
A
A
A

MUAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan 30 notis membabitkan kompaun sebanyak RM244,000 dalam operasi terhadap van dan bas pekerja kilang yang diadakan di Johor Bahru dan Tangkak pada Isnin dan Selasa.

Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, operasi bersepadu penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 terhadap van dan bas kilang itu dilakukan dari jam 5 petang hingga 10 malam.

"Dalam keseluruhan operasi yang dijalankan selama dua hari itu, sejumlah 28 kenderaan membabitkan bas dan van pekerja kilang diperiksa. Daripada jumlah itu, 30 kesalahan dikesan antaranya membawa muatan melebihi had 50 peratus.

"Selain itu, kesalahan seperti gagal menyediakan 'hand sanitizer' dan kod pengimbas MySejahtera juga mengakibatkan kenderaan ini dikompaun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pejabat JPJ Cawangan Muar di sini pada malam Selasa, selepas operasi Penguatkuasaan SOP Covid-19 bagi kenderaan pengangkutan awam (KPA) di Tanjung Agas, Tangkak.

Operasi bersepadu itu disertai polis, Pejabat Kesihatan Daerah, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri.

Azmil berkata, operasi itu penting bagi memastikan pematuhan dalam kalangan pengusaha bas dan van kilang memandangkan suasana pandemik yang semakin membimbangkan ketika ini.

"Semua pihak harus patuh dan akur dengan SOP ditetapkan tidak kira di mana anda berada. Bagi kumpulan yang bekerja seperti ini, mereka lebih terdedah dan justeru mereka seharusnya lebih peka untuk patuh SOP bagi membendung jangkitan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, operasi seperti itu akan diperluaskan lagi ke seluruh negeri bagi memastikan pematuhan SOP terhadap pengangkutan awam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!