Op Kuda Laut: Maritim tahan 103 bot nelayan asing
KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 103 bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara sejak Op Kuda Laut dilancarkan Jun tahun lalu.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, jumlah tangkapan di Terengganu, Kelantan dan Pahang itu turut melibatkan rampasan keseluruhan bernilai RM154.5 juta.
Menurutnya, tangkapan terbaru pada Isnin lalu membabitkan empat bot nelayan asing Vietnam bersama 46 kru termasuk tekong.
"Semasa rondaan Kapal Maritim (KM) Nusa menerima maklumat risikan melalui pusat operasi yang mengesan bot pada kedudukan antara 77 hingga 78 batu nautika dari Kuala Terengganu sedang menangkap hasil laut di perairan negara.
"Pemeriksaan mendapati kesemua 46 kru dan tekong warga Vietnam berusia antara 15 hingga 62 tahun didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah," katanya pada Rabu.
Muhammad Suffi berkata, semua kru kemudian ditahan manakala hasil tangkapan sebanyak 14 tan ikan campur dan baja, bekalan diesel dan peralatan menangkap ikan bernilai hampir RM6 juta dirampas.
Katanya, berdasarkan keadaan bot dan jumlah tangkapan yang banyak semua bot itu dipercayai sudah berada di laut selama sebulan dan dalam proses memindahkan hasil.
"Mereka dibawa ke jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.
"Maritim tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran. Maritim sentiasa melakukan rondaan walaupun negara kini dikenakan Sekatan Pergerakan Penuh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!