Tiga solusi penglibatan Rohingya
SHAH ALAM - Walaupun Malaysia bukan negara yang menandatangani Konvensyen 1951 berkenaan Status Pelarian ataupun Protokol 1967, namun terdapat tiga solusi penglibatan Rohingya di negara ini.
Pensyarah Ekonomi Universiti Malaysia Kelantan, Mohd Safwan Ghazali berkata, tiga solusi tersebut termasuk Malaysia menerima mereka dalam keadaan sementara dan akan menghantar pulang ke negara asal jika negara asal itu telah bebas daripada peperangan atau ancaman nyawa.
“Kedua, kita menghantar mereka ke negara ketiga, kemudian integrasi bersama dengan lokal. Namun situasi hari ini berbeza, mengikut statistik yang kita ada berkaitan negara ketiga ia cukup membimbangkan.
“Daripada jumlah pelarian Rohingya yang kita ada sekarang hampir 100,000, kita hanya mampu menghantar lima peratus sahaja setahun.
“Sekiranya mengguna pakai lima peratus ini, ia akan mengambil masa lebih daripada 20 tahun untuk kita beralih dalam situasi sifar pelarian ini,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-267 bertajuk ‘Rohingya: Antara Kemanusiaan dan Kedaulatan’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Wacana tersebut turut menampilkan Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak dan Presiden Persatuan Hentikan Pemerdagangan Manusia (SHUT), Dini Dalilah Wan Nordin, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Berkenaan dengan dominasi pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama golongan Rohingya, Mohd Safwan berkata, terdapat dua perspektif membabitkan majikan dan pengguna.
“Kalau kita lihat perspektif majikan, mereka lebih kepada faktor keuntungan. Mereka tidak kisah berkenaan dengan siapa asalkan mereka mampu menerima tawaran yang diberikan.
“Perspektif pengguna pula mereka melihat pelbagai sentimen kepada pekerja-pekerja Rohingya. Ini termasuk kegusaran terhadap tahap kebersihan.
“Masyarakat menganggap mereka hidup berkelompok dan berlaku pengabaian tentang aspek kebersihan. Justeru, keadaan ini menimbulkan kegusaran kepada masyarakat kita sekiranya etnik Rohingya bekerja di sini,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, Malaysia sebenarnya sudah cukup berperikemanusiaan apabila menerima hampir 200,000 etnik Rohingya di negara.
Beliau berkata, jumlah tersebut jauh lebih tinggi berbanding dengan negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.
“Mereka baru angka tiga ribu ke lima ribu. Jadi, adilkah kita? Adilkah masyarakat dunia melihat Malaysia ini tidak berperikemanusiaan,” soal Mohd Safwan.
Untuk jangka masa panjang, beliau berkata, kerajaan dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) perlu berganding bahu menghantar etnik Rohingya secepat mungkin.
“Ini termasuk menghantar mereka ke negara ketiga ataupun mengekang kerajaan kedutaan Myanmar untuk menerima etnik mereka kembali,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!