'Bunyi seperti letupan bom atas rumah'

Samsiah (kanan) menunjukkan kepada Zamrin bahagian atap rumah yang diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut di Jalan Permas 1/1, Permas Jaya, Pasir Gudang pada Rabu.
Gambar kecil: Samsiah
Samsiah (kanan) menunjukkan kepada Zamrin bahagian atap rumah yang diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut di Jalan Permas 1/1, Permas Jaya, Pasir Gudang pada Rabu. Gambar kecil: Samsiah
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang warga emas terkejut dan menggigil selepas mendengar bunyi seperti bom di atas rumahnya dalam kejadian ribut di Jalan Permas 1/1, Permas Jaya di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Samsiah Ubah, 84, yang sedang solat segera mendapatkan dua cucunya sebelum tergamam melihat atap bahagian dapur sudah diterbangkan angin kencang.

"Dalam keadaan ketakutan itu, saya terus melaungkan azan tiga kali berturut-turut sebelum angin kencang beransur-ansur reda.

"Cucu perempuan lari masuk dalam telekung saya kerana ketakutan. Semasa kejadian saya dengan dua cucu berada di rumah dan angin kencang itu berlaku kira-kira setengah jam," katanya.

Samsiah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan daripada Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh iaitu Zamrin Hamzah di rumahnya pada Rabu.

Dia yang tidak bekerja dan menanggung dua cucunya hasil daripada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersyukur kerana selamat dan mendakwa sehingga kini masih trauma dengan kejadian itu.

Mohd Yusoff Omar, 59, pula berkata, ketika kejadian dia juga sedang solat bersama isterinya dalam bilik atas, manakala ibu mentuanya berada di tingkat bawah sebelum terdengar bunyi dentuman kuat.

Artikel Berkaitan:

Mohd Yusoff
Mohd Yusoff

"Saya lihat dari tingkat atas, bumbung depan rumah jiran terangkat-angkat sebelum diterbangkan angin kencang.

"Bumbung rumah saya juga turut diterbangkan angin kencang tetapi semasa kejadian saya tidak berani keluar rumah untuk melihatnya," katanya.

Sementara itu, Zulfadzli Othman, 33, berkata, semasa kejadian hujan lebat dan bunyi dentuman petir sangat kuat beberapa kali seakan bunyi meletup.

Zulfadzli
Zulfadzli

"Mujurlah tiada kejadian tidak diingini berlaku. Saya sudah pun menggantikan zink yang diterbangkan angin kencang pada hari ini.

"Saya anggap ini ujian dalam keadaan saya tidak bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua minggu lalu," katanya.

Sementara itu, Zamrin berkata, sumbangan diberikan kepada 20 keluarga mangsa ribut di kawasan tersebut bertujuan meringankan beban mereka kerana rata-ratanya dalam kalangan keluarga B40.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!