Sidang DUN: PH Johor junjung kasih titah Sultan Ibrahim

Aminolhuda, Chin Tong dan Syed Ibrahim
Aminolhuda, Chin Tong dan Syed Ibrahim
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) Johor menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang telah memperkenan supaya Dewan Negeri Johor bersidang pada 12 Ogos depan.

PH Johor dalam kenyataan bersama berkata, mereka turut menjunjung kasih atas perkenan Sultan Johor untuk berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.

"PH Johor siap sedia menyumbang tenaga dan buah fikiran demi kepentingan rakyat terutamanya mengenai pelan tindakan bagi membantu mereka yang terjejas akibat wabak Covid-19 serta menyusun pelan pemulihan ekonomi negeri ini.

"PH Johor juga menginsafi dan konsisten dengan pandangan bahawa Dewan Negeri dan Parlimen perlu bersidang dengan segera untuk menjalankan peranannya lebih-lebih lagi pada saat rakyat berhadapan kesukaran serta kekecewaan dalam berhadapan masalah penularan Covid-19 yang sehingga hari ini masih belum dapat diselesaikan.

"Pada masa yang sama, prestasi vaksinasi untuk rakyat di negeri Johor setakat ini juga amat membimbangkan iaitu pada kadar 14.6 peratus sahaja," menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dibuat tiga pemimpin PH Johor iaitu Pengerusi Parti Amanah Negara Johor, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi PH Johor; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Johor, Liew Chin Tong.

PH Johor turut menjunjung kasih dan merafak sembah titah serta keprihatinan yang dizahirkan Sultan Johor.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!