LTSAAS aset strategik sangat bernilai: Mohamad

Mohamad (gambar kecil) menyifatkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang sebagai satu aset strategik yang sangat bernilai.
Mohamad (gambar kecil) menyifatkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang sebagai satu aset strategik yang sangat bernilai.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang sebagai satu aset strategik yang sangat bernilai.

Mohamad berkata, ia milikan sebuah syarikat berkaitan kerajaan di mana rakyat mempunyai kepentingan terus melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan sebagainya.

Beliau berkata, cadangan penjualan atau pajakan LTSAAS kepada satu syarikat swasta kepunyaan beberapa individu kaya raya bertentangan dengan kepentingan nasional.

Menurutnya, ramai lupa bahawa LTSAAS Subang adalah satu-satunya lapangan terbang paling hampir dengan Kuala Lumpur dan beberapa bandar raya besar lain seperti Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya.

"Kita telah lama kehilangan lapangan terbang Sungai Besi yang sangat strategik. Jika berlaku kecemasan nasional, LTSAAS adalah satu-satunya lapangan terbang terdekat untuk operasi kecemasan, bantuan kemanusiaan dan evakuasi.

"Kerana kepentingan strategik tersebutlah, ia harus kekal menjadi aset milikan kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohamad mengulas kenyataan Kesatuan-kesatuan Pekerja Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) yang membangkitkan isu pengambilan alih LTSAAS.

ARTIKEL BERKENAAN: Kesatuan pekerja bersama sokong pelan penjanaan semula LTSAAS

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Kesatuan-kesatuan Pekerja MAHB menyokong pembangunan lima tahun Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) yang sistematik dan menyeluruh.

Justeru, Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Bhd Semenanjung (Kesma); Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Bhd Sarawak (Kepemab) dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Bhd Sabah & Labuan (Kepmas) berharap kerajaan membuat deklarasi terbuka bahawa pengambilalihan LTSAAS oleh WCT Holdings Bhd tidak akan berlaku.

Menurut kesatuan-kesatuan pekerja berkenaan, tindakan kerajaan itu akan memastikan inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan untuk memperkasa lapangan terbang yang terletak di Subang, Selangor itu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kesatuan-kesatuan pekerja itu dengan tegas membantah sekeras-kerasnya cadangan untuk menjual atau memajak aset negara itu kepada sebuah syarikat swasta.

"Jika perkara ini dibenarkan berlaku, saya merasa sangat dukacita dan kesal. Kedua, apa jua cadangan diterima oleh kerajaan, wajar disertai dengan ketelusan," katanya.

Beliau berkata, jelaskan dengan terperinci dan terus terang apa rancangan kerajaan kerana rakyat berhak tahu dan rakyat adalah pemegang taruh LTAAS Subang.

"Ketiga, jangan mudah terpedaya dengan idea pembongkaran potensi LTAAS Subang oleh syarikat swasta.

"Apa lagi apabila ia lebih beroreintasi pembangunan hartanah dan rencana korporat senantiasa elok di atas kertas tetapi tidak dalam pelaksanaan," katanya.

Mohamad berkata, Lapangan Terbang Senai terlepas dari pegangan MAHB dalam tahun 2003 dengan janji bahawa Senai akan memberi persaingan hebat kepada Changi, Singapura namun selepas 17 tahun Senai terus ketinggalan dari Changi dari semua segi.

"Keempat, saya di fahamkan bahawa satu taklimat kepada Perdana Menteri oleh Malaysia Airports telah dibuat. Plan 'Subang Airport Regeneration' oleh MAHB sangat wajar dipertimbangkan demi kepentingan nasional dan keselamatan negara.

"Saya mengerti kegusaran oleh pihak kesatuan sekerja. Ini bukan sahaja melibatkan masa depan mereka, tetapi juga negara," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan wajar untuk tidak mempertimbangkan cadangan pajakan atau penjualan aset nasional tersebut kerana ia bukan keutamaan dalam saat negara dilanda pandemik dan kemelesetan nasional yang sangat ketara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!