Pemuda Pas cadang kedai makan buka 6 pagi hingga 10 malam

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas berpandangan, sudah tiba masa kedai makan dibenarkan beroperasi untuk pesanan e-hailing bermula dari jam 6 pagi sehingga 10 malam.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, cadangan itu berdasarkan trend penurunan kes jangkitan harian serta peningkatan kadar sembuh harian sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, ia juga selepas mengambil kira kesukaran yang dialami rakyat untuk membeli makanan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

"Pembukaan operasi kedai makan bermula jam 8 pagi dan tutup pada jam 8 malam amat menyukarkan rakyat, khususnya yang bekerja semasa tempoh PKP untuk membeli sarapan dan makan malam.

"Perniagaan kedai makan dan penjaja kecil berkaitan makanan juga terjejas akibat pelaksanaan had waktu ini.

"Justeru, Pemuda Pas percaya sudah sampai masanya kedai makan dibenarkan beroperasi untuk pesanan e-hailing dari jam 6 pagi sehingga jam 10 malam," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, ini sekali gus membantu menyelesaikan isu kekurangan pendapatan pengusaha kedai makan dan penjaja, serta masalah kesukaran membeli makanan.

Beliau berkata, had operasi kedai makan yang sangat singkat ini juga menyebabkan ketakutan dan kerisauan rakyat, lebih-lebih lagi mereka melihat seolah kerajaan tidak ada jalan penyelesaian untuk mengeluarkan negara dari pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Justeru pembukaan operasi kedai makan akan dapat mengendurkan kerisauan mereka serta mengurangkan tekanan di kalangan masyarakat, apabila mereka dapat menikmati sedikit kehidupan seperti biasa sebelum adanya pandemik," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!