Selangor E-Bazar Raya 2021 jana hasil RM1 bilion
KEMPEN Selangor E-Bazar Raya 2021 yang bermula pada 15 April sehingga 29 Mei lalu berjaya menjana pulangan hasil memberangsangkan dengan kesan riak (ripple effect) sebanyak RM954 juta buat ekonomi Selangor termasuk jualan terus bernilai RM65 juta.
Menerusi kempen itu, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM2 juta sebagai baucer subsidi dan turut mendapat penyertaan 22,049 peniaga e-dagang baharu serta memanfaatkan 134,025 peniaga secara keseluruhan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penganjuran kempen itu membuktikan bahawa peniaga yang melakukan digitalisasi terhadap perniagaan mereka akan berjaya meraih pulangan hasil yang memberangsangkan.
"Hasil terkini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 163 peratus untuk jualan terus dan 139 peratus peningkatan kesan riak kepada ekonomi Selangor berbanding sasaran awal dibuat," katanya pada sidang akhbar Pengumumaan Keputusan Kempen E-Bazar Raya 2021 dan Pelancaran Sidec TV yang berlangsung secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom pada Rabu.
Turut sama mengikuti sidang media berkenaan ialah Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Selangor turut berbangga menjadi kerajaan negeri pertama melancarkan inisiatif baucer e-dagang dalam membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menghadapi cabaran Covid-19.
"Kita telah mengadakan empat kempen iaitu E-Bazar Raya 2020, EBazar 11.11 Mega Sales, E-Bazar CNY 2021 dan E-Bazar Raya 2021.
"Dengan pelaburan RM7 juta oleh kerajaan negeri, empat pusingan kempen itu telah menghasilkan jualan terus berjumlah RM144.7 juta dengan kesan riak sebanyak RM2.95 bilion buat ekonomi Selangor," katanya.
Sementara itu, Chang Khim berkata, hasil kempen Selangor E-Bazar Raya telah menunjukkan platform e-dagang dapat membantu PKS untuk terus bertahan dan memastikan ekonomi pasaran terus terbuka.
Katanya, antara kategori jualan paling popular sewaktu kempen ini adalah barangan rumah, kesihatan dan kecantikan, barangan runcit, haiwan serta automotif.
"Di bawah sekatan akibat Covid-19, kita terpaksa menerapkan ekonomi sentuhan rendah atau low touch economy dengan menyediakan platform yang praktikal dan selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!