Penjawat awam bersama rakan ditahan curi lembu

Mispani (dua dari kanan) menunjukkan dua ekor lembu yang dicuri berjaya ditemui semula di IPD Jasin pada Rabu.
Mispani (dua dari kanan) menunjukkan dua ekor lembu yang dicuri berjaya ditemui semula di IPD Jasin pada Rabu.
A
A
A

JASIN - [KEMASKINI] Seorang penjawat awam di daerah ini ditahan bersama rakannya warga Indonesia selepas disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri lembu di kawasan Kesang Pajak pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, suspek berusia 53 dan 43 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di Kelubi lebih kurang jam 4 petang.

Menurutnya, kejadian itu disedari pemilik lembu berusia 39 tahun dan 45 tahun pada 16 April dan 29 Mei lalu sebelum mendapat tahu seorang peraih di Krubong, Melaka Tengah dipercayai membeli lembu yang dicuri.

"Pengadu kemudian telah pergi ke Krubong dan hasil risikan dan maklumat yang diperolehi bersama polis kemudiannya berjaya menjejaki dua suspek berkenaan yang menetap di Kelubi dipercayai terlibat dengan kes kecurian terbabit.

"Berdasarkan risikan dan maklumat itu kita berjaya menahan dua suspek selain merampas semula dua ekor lembu itu," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mispani berkata, mereka dipercayai menggunakan surat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang sah untuk membawa haiwan ternakan dengan menggunakan lori selain melalui jalan tikus pada waktu malam bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Katanya, kedua- dua haiwan ternakan itu dipercayai dijual kepada peraih terbabit dengan harga RM1,400 dan RM2,700 setiap seekor.

"Kita percaya terdapat rangkaian lain yang turut melakukan jenayah ini bagi menjual haiwan ternakan itu memandangkan perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

"Suspek warga Indonesia itu kini direman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen manakala seorang lagi suspek dibebaskan dengan jaminan polis disebabkan mengalami masalah kesihatan. Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pihaknya juga menerima laporan polis berhubung kecurian tujuh ekor lembu membabitkan kerugian kira- kira RM15,000 pada Rabu lalu.

"Jadi saya arahkan semua anggota di lapangan khususnya penugasan di Sekatan Jalan Raya (SJR) dan MPV jika terdapat lori yang membawa haiwan ternakan kita minta untuk mereka dibawa ke balai bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!