'Calon Bebas punya poster pun nak khianat?'
Calon Bebas, Kuan Chee Heng berkata, beliau menyedari perkara itu selepas dimaklumkan pembantunya ketika menghadiri satu majlis di Kepong kira-kira jam 2 petang.
Menurutnya, satu laporan dibuat pembantunya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang berhubung kejadian khianat membabitkan poster berukuran 12 x 4 kaki persegi itu.
“Saya terkejut terima gambar daripada pembantu yang menunjukkan bahan kempen itu dikoyak separuh. Kedua-duanya hanya tinggal nombor telefon yang terpapar di poster manakala bahagian bawah yang memaparkan wajah dan kata-kata saya dicampak ke tanah.
“Saya tak pasti siapa buat kerja ni namun tak tolak kemungkinan ia ‘kerja’ orang politik,” katanya kepada Sinar Harian.
Chee Heng yang turut dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, beliau sedih dengan permainan kotor dimainkan pihak tidak bertanggungjawab sedangkan dirinya ke Semenyih untuk bertanding sebagai calon bukannya sebagai ahli politik.
“Kenapa perlu buat macam ni, saya hanya seseorang yang kerdil, calon Bebas saja bukan ada apa dan tak ada kuasa politik, perbuatan ini tunjukkan mereka yang lakukannya tak matang.
“Kalah menang adatlah, rasa tak syok pula kempen macam ni. Alah calon Bebas punya poster pun nak khianat?,” katanya.
Chee Heng berkata, setakat ini hanya dua daripada 200 poster digantung yang dirosakkan namun belum membuat semakan keadaan poster digantung di kawasan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!