Peluang Ronaldo hapus badi

Ronaldo
Ronaldo
A
A
A

PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo akan terus menjadi taruhan pasukan A Selecao untuk membenam cabaran Perancis dalam aksi Kumpulan F Euro 2020 di Puskas Arena pada awal pagi Khamis.

Namun, rekod bintang Juventus itu ketika menentang Perancis tidak terlalu baik selepas masih gagal menjaringkan sebarang gol dalam kesemua enam perlawanan menentang The Blues.

Mengikut statistik daripada Transfermarkt, dalam enam pertemuan tersebut, Ronaldo membawa Portugal mencatat satu kemenangan, satu seri dan empat kekalahan.

Pertemuan pertama Ronaldo dengan Perancis adalah di separuh akhir Piala Dunia 2006 yang menyaksikan Portugal tewas 0-1 dalam aksi separuh akhir kejohanan tersebut.

Satu-satunya kemenangan Ronaldo bersama Portugal adalah ketika final Euro 2016 dengan skuad kendalian Fernando Santos itu menang 1-0 ke atas Perancis melalui gol Eder pada waktu kecederaan.

Dalam pertandingan di Stade de France, pada 10 Julai 2016 itu Ronaldo cuma bermain 25 minit selepas mengalami kecederaan dikasari oleh Dimitri Payet dan terpaksa dikeluarkan.

Selepas aksi final Euro itu, Portugal dan Perancis bertemu dua kali dan pasukan itu meraih satu seri dan satu kekalahan.

Bagaimanapun, Ronaldo ketika ini berada pada tahap terbaik apabila sedang mengungguli senarai penjaring terbanyak dengan tiga gol daripada dua perlawanan selain menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam kejohanan Eropah itu.

Artikel Berkaitan:

Badi itu juga mungkin boleh terhapus awal pagi ini apatah lagi Ronaldo dan Portugal sedang mengejar slot untuk mara ke pusingan 16 pasukan terakhir.

Pengendali Perancis, Didier Deschamps mengakui tetap gerun dengan ketajaman Ronaldo dan berwaspada dengan apa yang bakal dihasilkan peledak berbisa Portugal itu.

"Kami tahu bahawa pasukan Portugal sangat bergantung kepada gol yang dihasilkan Ronaldo. Dia menjadi penentu dalam dua perlawanan sebelum ini dan kami perlu cuba menghalang setiap gerakannya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!