Warga emas derita strok berhajat jumpa anak kandung

Jaimah (kanan) berharap dapat menemui Asyraf dan tiga anak mereka yang terputus hubungan selepas berpindah dari Kangar, Perlis ke Tanjong Karang.
Jaimah (kanan) berharap dapat menemui Asyraf dan tiga anak mereka yang terputus hubungan selepas berpindah dari Kangar, Perlis ke Tanjong Karang.
A
A
A

TANJONG KARANG - Seorang warga emas yang terlantar akibat strok berharap dapat menemui keempat-empat anaknya yang terputus hubungan sejak puluhan tahun sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

Hassan Sabu, 82, terpisah dengan empat anaknya yang dikenali sebagai Abdul Malik, Malik, Maznah dan Asyraf sejak lebih tiga dekad lalu.

Isteri Hassan, Jaimah Yusof, 57, berkata, suaminya itu berkahwin sebanyak tiga kali dan mempunyai 14 anak.

"Suami mempunyai empat anak iaitu masing-masing dua anak dengan bekas isteri pertama dan kedua, manakala 10 anak hasil perkongsian hidup dengan saya," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Jaimah yang menetap di Lorong Teratai Kanan, Kampung Sungai Kajang di sini berkata, keempat-empat mereka terpisah selepas dia dan keluarganya berpindah dari Kangar, Perlis ke Tanjong Karang pada tahun 1985.

"Sejak itu, saya dan suami sudah tidak berjumpa dengan anak-anak bekas isteri terdahulu, kecuali Asyraf yang kami temui semasa usianya 12 tahun di Kangar, Perlis," jelasnya.

Difahamkan salah seorang anak dikenali sebagai Nordin hasil perkahwinan suami dengan salah seorang bekas isterinya sudah meninggal dunia.

"Suami memang ada impian hendak bertemu dengan tiga lagi anaknya yang lain selain seorang anak kami (Asyraf) yang diserahkan hak penjagaan sejak dilahirkan kepada sepupu suami," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebagai ibu Asyraf dia juga berharap dapat menemui anak ketiganya itu meskipun hanya melalui panggilan video.

"Saya sudah puas menanggung rindu dan kerap menitis air mata untuk bertemu dengan Asyraf. Saya berharap dapat bertemunya semula untuk mengekalkan hubungan silaturahim.

"Saya bukan mahu merampas Asyraf daripada keluarganya, tetapi cukuplah dapat melihat raut wajahnya dan dapat tahu di mana dia berada pada masa ini," katanya.

Menurut Jaimah, Asyraf dipercayai tinggal dengan ibu angkat baharu selepas sepupu suami yang menjaga Asyraf meninggal dunia.

"Alhamdulillah, hasil perkongsian anak saya di Facebook, saya dapat maklumat daripada ibu angkat Asyraf memaklumkan dia sudah berkahwin.

"Ibu angkat (Asyraf) memberitahu, dia cuba memujuk anak saya untuk berhubung dengan kami sekeluarga dan harap urusan ini dipermudahkan ALLAH SWT," katanya.

Katanya, besar harapannya supaya keempat-empat mereka dapat dipertemukan semula agar dapat memberi kekuatan dan semangat kepada suaminya yang kini terlantar sakit.

"Kesihatan suami mula merosot sejak dua tahun lalu akibat diserang strok yang menyebabkan badan sebelah kirinya sukar bergerak.

"Semasa sihat, suami memang berhasrat untuk berjumpa keempat-empat anaknya dan saya tidak pernah berhenti berdoa supaya hasratnya itu tercapai," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat, boleh menghubungi anak sulung pasangan ini, Azurahayati Hassan di talian 013-2983 040.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!