Seorang maut nahas babit lima lori
IPOH - Seorang pemandu lori maut sementara tiga yang lain cedera dalam kemalangan melibatkan lima lori yang berlanggar sesama sendiri di Kilometer 288.7 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara berhampiran Simpang Pulai di sini pada malam Rabu.
Dalam kejadian sekitar jam 10 malam itu, Ahmad American Ahmad Danial, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah dan tersepit.
Ketika kejadian, mangsa yang beralamat dari Taman Pasir Puteh Selatan, Ipoh memandu lori tangki membawa gas petroleum cecair (LPG) secara sendirian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan dipandu mangsa telah hilang kawalan dan melanggar belakang sebuah lori dari arah sama.
"Pelanggaran telah mengakibatkan lori terbabit menggelongsor dan melanggar tiga lagi lori yang berada di hadapan.
"Mangsa telah mengalami kecederaan dan tersepit dalam kenderaan sebelum meninggal dunia di lokasi kemalangan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.
Menurutnya, kejadian turut mengakibatkan dua lagi pemandu lori masing-masing berusia 34 dan 47 tahun mengalami kecederaan pada kaki dan sakit dada manakala kelindan berusia 27 tahun cedera di tangan.
"Dua lagi pemandu lori yang terbabit dalam nahas itu berusia 41 dan 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan mereka yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.
"Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai sebaik menerima panggilan kemalangan pada jam 10.01 malam melibatkan empat lori muatan barang dan sebuah lori tangki membawa LPG.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, anggota menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mangsa berjaya dikeluarkan selepas pillar pada lori dipotong dan regangan dilakukan.
"Kerja-kerja menyelamat turut mendapat bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) untuk mengesan kebocoran.
"Nahas bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kebocoran pada tangki LPG, operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.10 pagi," katanya.
Dalam pada itu, @plustrafik memaklumkan nahas telah mengakibatkan aliran trafik terhenti disebabkan lorong kiri dan kanan lebuh raya terhalang.
Trafik kembali lancar pada jam 6.46 pagi Khamis sebaik kerja-kerja pengalihan dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!