Prestasi pelajar tidak wajar hanya bersandarkan KPI
SHAH ALAM - Prestasi pelajar dalam pendidikan tidak wajar hanya bersandarkan kepada sistem KPI atau Key Performance Indicators (Petunjuk-Petunjuk Prestasi Utama).
Bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, sistem KPI berkenaan mula digunakan ketika era 80-an.
"Apa maknanya, sebab pada era 80-an semua sistem berkehendak kepada satu paras standard yang sama contohnya ISO dan sebagainya.
"Dia hendakkan satu yang kalau boleh jika pihak itu menghasilkan sebuah televisyen atau 100 televisyen semua televisyen itu biarlah sama (segi standardnya).
"Tetapi hari ini ia tidak seperti yang kita mahukan. Hari ini kita bercakap mengenai orang yang kreatif, inovatif, boleh berfikiran di luar kotak dan bersedia untuk membuat perubahan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program bual bicara bersama tiga ikon media negara, Datuk Hussamuddin Yaacub, Datuk Seri Wong Chun Wai dan Tan Sri Johan Jaafar dengan tajuk, 'Budaya Gila 9A', secara dalam talian di Facebook Chun Wai pada Rabu.
Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, jika 'rejimenkan' sistem pendidikan dengan KPI kemungkinan ruang untuk pelajar berkembang tidak diberikan.
"Kita lihat sebagai contohnya boleh atau tidak Datuk Nicol David dan Datuk Lee Chong Wei dan bintang lain umpamanya serta (bintang) yang baharu memenangi perlumbaan motor (itu), saya ada dengar guru yang mengajar dia, budak ini dalam kelas memang teruk tetapi dia menjadi juara dunia.
"Maksud saya dia tidak berlumba macam 'mat rempit' tapi berlumba dengan pengetahuan jadi kemahiran dan potensi dia bagi saya (dengan) mencungkil bakatnya (namun) kekuatan kesajanaan (pencapaian dalam pendidikan) perlu diteruskan," katanya.
Beliau mengakui semua pihak mahukan pencapaian cemerlang dalam pendidikan itu datangnya dari sekolah tetapi pelajar yang mempunyai lain-lain kemahiran juga diperlukan.
"Hari ini maaf kerana bercakap, (dalam) sistem (pendidikan) kita satu perkataan yang saya tidak cukup suka dengar ialah gagal. Apa makna kita beri (istilah) gagal pada budak sekolah darjah enam, sekolah rendah, budak yang baharu kenal hidup dengan label gagal?
"Sebab itu saya dalam sistem gred (kepada pelajar) saya agak was was dan ragu ragu (mengenainya). Sebenarnya methodnya banyak kita tidak perlu kata gagal, kita boleh beri (gred) dengan bermacam macam cara," katanya.
Beliau tidak bersetuju sekiranya pelajar di peringkat sekolah rendah dilabelkan sebagai gagal kerana tidak lulus dalam peperiksaan yang akhirnya hanya akan memusnahkan pemikiran mereka.
"Untuk label pelajar (sebagai gagal), boleh dibayangkan apabila kita (pelajar) mendapat slip ditulis gagal, gagal, gagal, tiga kali sebut gagal itu (dapat) memusnahkan pemikiran budak itu.
"Tetapi dia boleh menjadi seorang 'chef' yang bagus, kita tidak tahu dan kita hanya labelkan dia gagal selama enam tahun belajar di sekolah rendah dan itu tidak betul," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!