Operator kilang maut tersepit mesin
PASIR GUDANG - Seorang operator kilang maut akibat tersepit di mesin 'loading plate guider' di sebuah kilang memproses makanan haiwan di kawasan perindustrian Pasir Gudang di sini pada Selasa.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Ir Mohd Rosdee Yaacob berkata, kejadian berlaku pada jam 9.40 malam semasa mangsa yang berusia 27 tahun mengambil topi keselamatan yang tertinggal di atas 'loading plate' selepas kerja pembaikan selesai.
"Hasil siasatan awal yang dijalankan JKKP mendapati mesin tersebut yang dilengkapi dengan adang dan peranti keselamatan digunakan untuk menyusun beg berisi produk makanan haiwan ke atas palet secara automatik.
"Apabila selesai membaiki kerosakan pada 'loading plate guider', mangsa dan juruteknik kanan kekal berada dalam kawasan adang operasi mesin tersebut untuk menilai hasil kerja pembaikan. Suis operasi kemudian dibuka oleh pekerja lain yang berada di luar kawasan adang.
"Sebaik sahaja mesin beroperasi, mangsa memasuki kawasan bahagian mesin yang selesai dibaiki untuk mengambil topi keselamatan yang tertinggal di atas loading plate yang berkedudukan statik dengan membelakangi 'sliding plate' yang sedang bergerak ke bawah menuju ke arah mangsa. Ini menyebabkan mangsa tersepit di antara dua plate berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, mangsa masih sedar diri semasa dihantar ke Hospital Penawar Pasir Gudang sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru namun meninggal dunia pada jam 12.30 tengah malam.
Susulan siasatan awal yang dijalankan, beliau berkata, pihaknya mengeluarkan empat notis larangan ke atas kegagalan majikan.
Jelasnya, notis pertama kerana gagal memastikan mesin beroperasi dengan selamat selepas aktiviti kerja penyelenggaraan dijalankan dan kedua gagal mengadakan Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) bagi aktiviti kerja penyelenggaraan.
Ketiga katanya, gagal mengadakan Prosedur Kerja Selamat bagi aktiviti kerja penyelenggaraan dan keempat gagal mengadakan latihan kepada pekerja yang terdedah kepada risiko semasa menjalankan kerja penyelenggaraan.
Selain itu ujarnya, satu notis pembaikan telah dikeluarkan untuk majikan menjalankan siasatan dalaman bagi kemalangan maut itu.
Tambah beliau, JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutama melibatkan pekerja mahupun orang awam.
Tegasnya, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
"Majikan bertanggungjawab untuk mengenalpasti hazard, menganalisis dan menaksir risiko yang berkaitan dan seterusnya melaksanakan langkah kawalan yang sesuai bagi mengawal risiko berkaitan.
"Ini merupakan satu daripada kewajipan am majikan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang mana majikan perlu menyediakan tempat kerja yang selamat untuk pekerjanya dan orang lain yang berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!