Bomba tayang 'Didi & Friends' keluarkan kaki budak masuk lubang tandas
PASIR GUDANG - Anggota bomba menayangkan animasi 'Didi & Friends' menerusi telefon bimbit ketika mengeluarkan kaki seorang kanak-kanak lelaki yang tersangkut dalam lubang tandas di Taman Bukit Dahlia di sini pada malam Rabu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II Iszahwati Supardi berkata, usaha tersebut membuahkan hasil apabila kanak-kanak berusia tiga tahun itu dilihat leka ketika kerja-kerja mengeluarkan kakinya yang tersepit sedang dilakukan.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 8.51 malam sebelum lapan anggota, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Setibanya di lokasi didapati kaki seorang kanak-kanak lelaki termasuk dalam lubang tandas tingkat dua sebuah premis rumah kedai.
"Menurut maklumat diberi ibu mangsa, kanak-kanak itu sedang mandi bersama-sama adik beradiknya yang lain sebelum kaki mangsa termasuk ke dalam lubang saluran air yang tidak berpenutup," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Katanya, bagi melekakan dan menenangkan kanak-kanak itu, anggota bomba membuka rancangan animasi 'Didi & Friends' semasa kerja-kerja memecah simen sekeliling lubang dan pintu kedai di bahagian bawah bagi memotong saluran paip menggunakan peralatan khas.
Iszahwati berkata, kerja-kerja menyelamatkan kanak-kanak itu mengambil masa selama kira-kira 1 jam 20 minit.
"Mangsa yang berjaya diselamatkan diberi rawatan awal dan mangsa didapati tidak mengalami sebarang kecederaan serius," katanya.
Beliau memberitahu, operasi itu kemudian ditamatkan pada jam 9.43 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!