Pengusaha pusat kecantikan, spa mohon dibenar operasi lebih awal

Pengusaha pusat kecantikan dan spa merayu supaya kerajaan memberi kebenaran untuk mereka membuka semula perniagaan lebih awal. - Foto Bernama
Pengusaha pusat kecantikan dan spa merayu supaya kerajaan memberi kebenaran untuk mereka membuka semula perniagaan lebih awal. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengusaha pusat kecantikan dan spa yang kini semakin ‘tenat’ kerana tidak dapat beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, merayu supaya kerajaan memberi kebenaran untuk mereka membuka semula perniagaan lebih awal.

Pengerusi Koperasi Kecantikan dan Spa Terengganu (Kospa), Zaliha Abu Bakar berkata, penyenaraian sektor spa dan salon kecantikan sebagai aktiviti berisiko tinggi dan tidak dibenarkan beroperasi sehingga fasa ketiga PKP yang dijangka bermula September sehingga Oktober ini, dirasakan terlalu lama.

Malah katanya, pada ketika ini pun seramai 135 ahli Kospa semakin buntu mencari jalan bagi mengekalkan perniagaan mereka memandangkan pendapatan terjejas sehingga 90 peratus.

“Ini bermaksud kami hanya dapat beroperasi pada bulan November nanti. Bayangkan kalau sekarang bulan Jun ini pun wang simpanan sudah hampir habis, dan ada antara kami terpaksa bergolok-gadai kerana masih perlu membayar komitmen seperti sewa premis, bil utiliti dan pinjaman lain.

“Walaupun ada agensi seperti Mara (Majlis Amanah Rakyat) dan YPU (Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu), memberi potongan kadar sewa premis namun ia tetap membebankan kami dalam keadaan yang hampir tiada pendapatan ini. Ada juga antara kami yang menyewa premis dengan individu jadi perlu bayar (sewa) penuh,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Dalam pada itu Zaliha berkata, pihaknya juga risau mengenangkan nasib pekerja dan ahli terapi dalam sektor kecantikan dan spa ini, yang hilang punca pendapatan akibat tidak dapat bekerja sejak pelaksanaan PKP3.0 yang bermula pertengahan Mei lepas.

Katanya, meskipun para pekerja ditawarkan bantuan kewangan di bawah Program Subsidi Upah (PSU), namun pembayaran yang diterima melalui majikan itu agak lewat.

“Kami pun bimbang dengan nasib pelatih dalam industri ini, kerana apabila spa ditutup pembelajaran mereka pun tidak dapat dihabiskan, sedangkan mereka merupakan pelapis dalam industri ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Zaliha turut memohon supaya kerajaan mempertimbangkan memberi bantuan geran kewangan kepada pengusaha pusat kecantikan dan spa, bagi mereka memulakan semula perniagaan nanti.

“Untuk beroperasi semula nanti, keadaan kami seperti bermula daripada ‘kosong’ kerana tiada pendapatan dan simpanan pun sudah habis. Jadi kami mohon kerajaan prihatin dengan nasib kami dan memberi geran kewangan walaupun sekadar RM2,000 atau RM1,000 pun sudah cukup.

“Kami tidak mahu diberikan bantuan pinjaman lagi, kerana jumlah pinjaman yang kami buat untuk kelangsungan perniagaan ekoran pelaksanaan PKP yang terdahulu pun sudah tidak mampu untuk dibayar,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!