PMM hargai sumbangan petugas barisan hadapan
KLANG - Percetakan Melayu Malaysia (PMM) menghargai peranan petugas barisan hadapan dengan memberikan sumbangan kepada kakitangan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.
Penyerahan sumbangan itu meliputi pemberian sebanyak 7,200 botol air mineral dan 1,000 bungkus roti untuk keperluan kakitangan hospital terbabit.
Presiden PMM, Rokiah Hassan berkata, pemberian sumbangan itu berdasarkan keperluan semasa hospital berkenaan yang memerlukan barangan terlibat untuk kegunaan kakitangan mereka yang bertugas.
"PMM telah bertanyakan dahulu mengenai keperluan semasa pihak hospital ini sebelum kami hadir bagi menyerahkan sumbangan hari ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Selain HTAR, PMM turut memberikan sumbangan berkenaan kepada petugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh (HSB).
Mengulas lanjut, Rokiah berkata, penyerahan sumbangan itu diberikan menggunakan dana Infaq Rezeki yang dikutip menerusi ahli-ahli persatuan bernaung di bawah mereka.
"PMM berhasrat untuk mengembangkan lagi program sumbangan ini berikutan pihak kami masih menerima sumbangan berkenaan sehingga hari ini.
"Kita akan cuba untuk serahkan bantuan ini kepada petugas barisan hadapan lain pula selepas ini bagi membantu mengurangkan bebanan mereka dalam menghadapi Covid-19," katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Rokiah berkata, PMM turut berharap agar Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat memberi kelonggaran buat syarikat percetakan untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.
"PMM banyak menerima keluhan daripada ahli kami yang sememangnya terjejas apabila tidak dapat beroperasi dan disebabkan itulah kami memohon pertimbangan MITI dalam perkara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!