Kertas siasatan kes MB Kedah dirujuk ke PPN

Polis sebelum ini menjalankan siasatan berhubung dakwaan Muhammad Sanusi memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, di sini. Gambar kecil: Sahabudin
Polis sebelum ini menjalankan siasatan berhubung dakwaan Muhammad Sanusi memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, di sini. Gambar kecil: Sahabudin
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis sudah merujuk kertas siasatan kes Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa memandu uji kenderaan ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihaknya sedang menunggu arahan daripada PPN untuk tindakan seterusnya.

Menurut beliau, kertas siasatan tersebut telah dikembalikan oleh Bukit Aman sebelum diserahkan kepada PPN.

"Kertas siasatan telah dihantar ke Bukit Aman dan mereka sudah kembalikannya (kertas siasatan) kepada kita semula untuk diserahkan kepada PPN.

"Kertas siasatan kes ini perlu dihantar ke Bukit Aman kerana ia melibatkan penjawat awam (menteri besar)," katanya ketika ditemui Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini pada Khamis.

Sahabudin berkata, siasatan berhubung kes itu mengambil masa kerana ia dibuat berdasarkan video yang ditularkan di media sosial.

"Polis perlu merekodkan keterangan daripada pelbagai pihak terlibat dan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di kawasan tersebut, sebab itu ia mengambil masa sedikit.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat dakwaan MB Kedah pandu uji kereta ketika PKP

Sebelum ini, kes Muhammad Sanusi yang didakwa memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru di sini telah dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan itu susulan penularan gambar dan video di media sosial memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kereta di Autocity Juru.

Video dan gambar itu dimuat naik seorang pengguna di Facebook yang mempersoalkan tindakan Muhammad Sanusi.

ARTIKEL BERKAITAN: MB Kedah tidak pandu uji, beli kereta ketika 'total lockdown'

Gambar dan video itu memaparkan Muhammad Sanusi ke pusat pameran dan jualan kenderaan itu dipercayai untuk memandu uji sebuah kereta jenis Ford Raptor.

Kejadian itu didakwa berlaku kira-kira jam 6.30 petang, 5 Jun lalu yang mana Muhammad Sanusi dilihat datang ke pusat terbabit bersama dua lelaki dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard milik Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA).

Video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada warganet kerana negara kini berada di bawah Sekatan Pergerakan Penuh yang mana pusat jualan dan pameran kenderaan tidak dibenarkan beroperasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!