FAMA bantu pekebun pisang terjejas

Laporan akhbar Sinar Harian pada Khamis.
Laporan akhbar Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri Kedah bersedia membantu mana-mana pekebun pisang yang menghadapi masalah lambakan hasil pertanian sehingga mendatangkan kerugian di negeri ini.

Pengarah FAMA Kedah, Isa Hamzah berkata, pihaknya telah turun padang berjumpa dua rakan kongsi yang menanggung kerugian selepas pisang berangan mereka tidak dapat dipasarkan dalam tempoh seminggu pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh pada 1 Jun lalu.

Menurut Isa, beliau mendengar sendiri masalah yang diluahkan oleh dua pekebun tersebut, Mohd Azlan Abdul Manaf, 37, dan rakannya, Azmir Abd Rahman, 37, dari Kampung Belimbing Kiri, Kuala Nerang.

"Kami menasihati mereka agar memaklumkan kepada FAMA peringkat daerah sekiranya mempunyai masalah dalam memasarkan hasil pertanian mereka.

"Sebelum ini mereka tidak menghubungi FAMA bagi membantu memasarkan hasil pertanian berkenaan. Kami berharap selepas ini masalah tersebut akan dapat diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Isa berkata, Pusat Operasi Alor Setar dan Pejabat FAMA daerah Pokok Sena dan Padang Terap kini sedang mengatur pasaran untuk hasil pertanian tanaman pisang seluas 11.58 hektar melibatkan lapan peserta yang berdaftar di bawah program ladang kontrak.

"Berdasarkan rekod ladang kontrak FAMA, Pejabat FAMA daerah Pokok Sena juga akan mengatur pengaturan pasaran yang melibatkan 17 peserta dengan keluasan 37.3 hektar dan hasil pertanian itu dijangka diperoleh pada Julai ini," ujarnya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan dua rakan kongsi yang mengusahakan kebun pisang berangan hilang pendapatan lebih 30 peratus akibat kejatuhan harga pisang di pasaran sejak pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh pada 1 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!