Sukarelawan OKU nikmati kenaikan bayaran sagu hati

Muhyiddin ketika tiba bagi membuat lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 secara pandu lalu untuk orang kurang upaya (OKU) di Sime Darby Plantation pada Khamis. - Foto Bernama
Muhyiddin ketika tiba bagi membuat lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 secara pandu lalu untuk orang kurang upaya (OKU) di Sime Darby Plantation pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Peningkatan bayaran sagu hati untuk sukarelawan kesihatan yang terbabit dalam proses vaksinasi dan pengurusan Covid-19 turut dinikmati sukarelawan yang khusus menyantuni Orang Kurang Upaya (OKU), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, pada ketika ini terdapat kira-kira 100 sukarelawan yang membantu memastikan kelancaran proses vaksinasi dan pengurusan Covid-19 melibatkan golongan OKU.

"(Pertambahan) bayaran ini dari RM50 sehari ke RM100 sehari juga kita berikan kepada sukarelawan OKU yang kini kira-kira 100 orang dan jumlah (sukarelawan) ini mungkin bertambah," katanya dalam sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu OKU Sentral di Menara Sime Darby Plantation, di sini pada Khamis.

Turut hadir Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Dalam sidang media di Tangkak, Johor pada 22 Jun lepas, Muhyiddin mengumumkan peningkatan kadar bayaran tersebut sebagai tanda pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan sukarelawan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, ketika ini terdapat 579,150 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan daripada jumlah itu, seramai 280,904 telah berdaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), setakat 20 Jun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 15,914 telah mendapat suntikan dos pertama, manakala 3,859 lagi sudah melengkapkan vaksinasi dua dos.

Sementara itu, Muhyiddin mengulangi bahawa masalah bekalan vaksin bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia, tetapi juga oleh banyak negara lain yang berpunca daripada monopoli negara-negara maju.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun kita dah signed (meterai perjanjian) jumlah yang kita perlukan, yang sudah tiba (hanya) sebahagian dan hari ini belum sampai 10 peratus populasi di Malaysia diberikan vaksin.

"Kita ada kapasiti tapi vaksin tak cukup. Sebab itu saya telah arahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin untuk terus berunding dengan semua pembekal," katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan meneruskan rundingan bagi memastikan bekalan vaksin yang ditempah diterima sepenuhnya demi mencapai sasaran komuniti kelompok sebelum akhir tahun ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!