'Jika tidak mampu beli durian, datang jumpa saya'

Azizon (tengah) melayan pelanggan yang datang ke gerainya di Jalan Tanjung Lumpur -Kempadang pada Khamis.
Azizon (tengah) melayan pelanggan yang datang ke gerainya di Jalan Tanjung Lumpur -Kempadang pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Rasa simpati dengan nasib golongan kurang berkemampuan untuk menikmati buah durian mendorong seorang peniaga di sini untuk memberi secara percuma raja buah itu.

Azizon Awang, 45, berkata, pendekatan itu diambil bagi memberi kegembiraan kepada golongan tersebut yang tidak berkemampuan untuk membeli buah durian.

Dia yang sudah berniaga durian kira-kira 10 tahun lalu mengakui pandemik Covid-19 memberi kesan kepada orang ramai termasuk peniaga kecil sepertinya.

"Saya bersyukur kerana masih ada sedikit modal untuk meneruskan perniagaan ini dan pada saat ini ramai yang kehilangan sumber pendapatan berdepan tekanan dari segi kewangan. Jadi, hati saya terdetik untuk membantu golongan memerlukan dengan cara memberi durian secara percuma.

"Terus terang saya cakap, kalau ada yang teringin nak makan durian tapi tidak mampu, datang dan beritahu kepada saya, saya ikhlas sedekahkan sebiji dua kepada mereka,” katanya ketika ditemui di gerai durian miliknya di tepi laluan utama Jalan Tanjung Lumpur - Kempadang pada Khamis.

Azizon berkata, bekalan durian diperoleh dan dihantar oleh pembekal dari Segamat, Johor Bahru pada setiap hari.

Katanya, durian yang dijual biasanya habis dijual sebelum jam 7 petang dan sering mendapat permintaan daripada orang ramai.

Beberapa pembeli sedang memilih durian yang dijual Azizon.
Beberapa pembeli sedang memilih durian yang dijual Azizon.

Artikel Berkaitan:

“Saya sudah lama berurusan dengan dia (pembekal) kerana sebelum ini saya berniaga di pekarangan Serambi Teruntum sebelum berpindah ke sini. Jadi dia tiada masalah untuk menghantar durian pada setiap hari.

"Kebiasaan bekalan durian akan tiba di sini (Kuantan) sekitar jam 2 petang, jadi saya mula menjual jam 3 petang dan boleh dikatakan sebelum jam 7 petang, semua buah sudah habis,” katanya.

Antara jenis durian dijual Azizon ialah musang king, udang merah, IOI dan durian kampung.

Selain itu, Azizon berkata, dia turut menjual durian yang sesuai dijadikan tempoyak dengan harga bermula RM6 sekilogram.

Sementara itu, seorang pelanggan, Mohd Azri Zainal, 39, berkata, usaha yang dilakukan Azizon wajar dicontohi peniaga lain.

Menurutnya, ini kerana bukan semua yang mampu membeli durian kerana harga mahal ditambah pula kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ada yang tidak dapat bekerja.

"Kita tidak nafikan ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19, jadi bila ada peniaga seperti Azizon, ia dapat membantu mereka yang tidak mampu membeli untuk menikmati durian.

“Harga ditawarkan juga sangat berpatutan dan saya harap Azizon terus berjaya dan boleh berniaga setiap kali musim durian,” katanya.

Norazam Abdul Ghani, 35, pula berkata, usaha seperti ini dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk menikmati raja buah.

"Saya sokong usaha ini sebab saya rasa ramai yang tidak berkemampuan dengan harga durian sekarang ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!